SEBERANG PERAI – UMNO Pulau Pinang kekal dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, perkara terbabit sudah diputuskan oleh perwakilan parti sejak tahun lalu dan ia dikekalkan.

Jelas beliau, UMNO negeri juga telah memutuskan akan bertanding di semua kerusi calon PPBM pada PRU akan datang.

“Hanya dengan Pas saja kita akan berkompromi dengan orang lain ‘no way’.  Piagam kita dengan Muafakat Nasional antara Pas dengan UMNO manakala Bersatu tidak termasuk dalam piagam itu sebaliknya mereka dalam Pakatan Harapan ketika itu.

“Kita akan meletakkan calon di semua kerusi Bersatu manakala bagi kerusi Gerakan pula kita akan letakan calon daripada MIC atau MCA memandangkan mereka (Gerakan) telah keluar daripada Barisan Nasional,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Mertajam di The Light Hotel di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, ketika diminta mengulas mengenai penggunaan logo antara BN dengan Pas pada PRU-15 Musa berkata, parti komponen BN akan kekal menggunakan logo BN ketika bertanding nanti.

“Bagi Pas pula terpulang kepada mereka untuk menggunakan logo sendiri, kita tak ada masalah berhubung isu itu,” kata beliau. – MalaysiaGazette