Mohd Radzi Md Jidin

PUTRAJAYA – Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sentiasa memberi penekanan pelajar kepada penglibatan bukan sahaja dalam bidang sukan malahan dalam perkara yang mereka mempunyai potensi untuk bergerak lebih maju ke hadapan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ini kerana terdapat dalam kalangan kanak-kanak yang dilahirkan dengan bakat-bakat tertentu yang tidak disedari.

Oleh itu, tambah beliau, KPM bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang berusaha untuk melaksanakan program bagi mengenalpasti bakat-bakat sukan dalam kalangan anak-anak sewaktu mereka masih kecil.

“Setiap potensi yang ada akan memberi kesan yang optimum kepada anak-anak dan juga kepada negara.

“Justeru, mereka perlu diasuh dengan penuh profesional sejak awal lagi,” katanya pada majlis perasmian Kejohanan Badminton Tertutup Komuniti Putrajaya, di Pusat Kejiranan Kompleks Presint 11, di sini, hari ini.

Program yang berlangsung selama tiga hari anjuran bersama Perbadanan Putrajaya dan Persatuan Badminton Putrajaya (PjBA) dengan tajaan daripada Felet (Malaysia) Sdn. Bhd itu dihadiri Naib Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang juga Presiden PjBA, Datuk Seri Khairuddin Samad serta Pengarah Urusan Felet, Datuk Teo Tong Wah.

Menurut Radzi, perkara ini juga merupakan antara tumpuan yang akan diberikan selaras dengan konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ yang akan dilancarkan KPM.

Pelaksanaannya konsep itu tidak melibatkan mata pelajaran baharu, sebaliknya guru akan menyelitkan elemen dalam konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ sewaktu sesi mengajar dan aktiviti kokurikulum.

“Penerapan nilai-nilai murni dalam kehidupan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah dan di dalam komuniti setempat.

“Kerjasama antara KPM dengan persatuan-persatuan dan komuniti setempat bagi memastikan konsep sekolahku sejahtera ini dalam menerapkan nilai-nilai murni kepada anak-anak akan dapat diusahakan dengan pendekatan yang paling baik,” katanya. – MalaysiaGazette