Keadaan kereta jenis Proton Wira yang remuk terus selepas terperosok di bawah treler dalam kejadian di Kilometer 8.3 Lebuh Raya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (Elite) menghala Shah Alam tengah malam tadi. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Pemandu treler yang terlibat dalam kes kemalangan maut sehingga meragut nyawa 10 sekeluarga di Kilometer 8.3 Lebuh Raya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (Elite) menghala Shah Alam dekat sini, tengah malam tadi direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, permohonan reman ke atas pemandu berusia 37 tahun itu dibenarkan bermula hari ini sehingga 21 Disember.

“Pemandu treler terbabit tidak mengalami kecederaan dan telah ditahan untuk membantu siasatan.

“Ujian air kencing dan ujian alkohol juga telah dijalankan terhadap suspek dengan keputusan adalah negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Fairus, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 12.09 tengah malam itu membabitkan dua buah kereta jenis Proton Wira dan Perodua Axia bersama sebuah treler.

Jelas beliau, siasatan awal di tempat kejadian mendapati treler berkenaan merempuh ketiga-tiga kereta yang berhenti di lorong kecemasan berikutan salah sebuah daripadanya mengalami kerosakan.

Katanya, dua buah kereta yang turut sama berada di lorong kecemasan berhenti untuk memberi bantuan.

“Kemalangan tersebut mengakibatkan seramai 10 mangsa yang berusia di antara 10 bulan sehingga 37 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa yang terlibat adalah seorang lelaki dan wanita dewasa serta lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan yang kesemuanya merupakan warga tempatan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Fairus berkata, kesemua mangsa yang meninggal dunia kemudiannya dihantar ke Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat.

Manakala seorang lelaki dan wanita warga tempatan masing-masing berusia 20 dan 19 tahun hanya mengalami cedera ringan, katanya.

“Saksi atau orang awam yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya iaitu ASP Lim Chin Huat di talian 012-2018080,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengakutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette