KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum (PRU-15) perlu dilaksanakan dengan kadar segera bagi memastikan kerajaan akan datang lebih stabil dan kukuh.

Itu antara gesaan yang dibuat UMNO Bahagian Petaling Jaya hari ini.

Menurut satu kenyataan, UMNO Bahagian Petaling Jaya turut menggesa pemilihan parti diadakan sejurus selepas PRU-15 bagi mengelakan perpecahan dalaman.

“Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Petaling Jaya pada hari ini juga bersetuju usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, untuk memulihkan kembali negara dari aspek ekonomi, keselamatan rakyat, politik dan sosial sehingga berakhirnya perjanjian gencatan politik bersama Perikatan Nasional (PN). 

“Perwakilan menyarankan agar pemimpin dan ahli UMNO memberi tumpuan kepada usaha untuk memperkasakan dan mengukuhkan parti, merapatkan saf dan meningkatkan perpaduan sesama ahli serta berusaha bersungguh-sungguh memenangi hati rakyat dan pengundi.

“UMNO juga perlu kembali memainkan peranan utama sebagai parti yang memimpin penyatuan dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera sekaligus kembali memainkan peranan sebagai parti tunjang yang menyatukan dan mengharmonikan rakyat di dalam negara yang tercinta ini,” kata kenyataan itu.

Katanya, ketetapan itu dibuat setelah mengambil kira kerajaan yang memerintah hari ini merupakan kerajaan gabungan Ismail Sabri daripada parti UMNO sebagai Perdana Menteri. 

Sementara itu, menurut kenyataan tersebut, UMNO Bahagian Petaling Jaya memahami penderitaan rakyat yang melalui fasa pandemik Covid-19 ketika ini dan menyokong segala usaha pemulihan negara daripada pelbagai aspek.

Bagaimanapun pada masa sama, UMNO Bahagian Petaling Jaya  menyesali kepincangan ekonomi negara yang secara langsung menjadi punca kenaikan kos sara hidup, kadar pengangguran yang meningkat, ketidak percayaan pelabur luar serta defisit inflasi yang tidak terkawal. 

“UMNO Bahagian Petaling Jaya juga meyakini bahawa hanya dengan kestabilan politik yang diterajui parti dominan merupakan kunci kepada penyelesaian masalah yang dihadapi negara dan rakyat Malaysia pada situasi pra pandemik ini. 

“Suara majoriti akar umbi UMNO di seluruh negara yang mahukan pengukuhan serta memastikan UMNO menjadi parti terbaik yang dapat menjamin kestabilan demi kemakmuran negara,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast