KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara yang terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat musibah banjir.

Seri Paduka berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru hari ini.

Seri Paduka turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di empat lagi PPS di Dewan Hamzah (Dang Wangi), Pusat Komuniti Sentul, SRJK Tamil Saraswathy dan Dewan Sri Endah Seputeh di Brickfields.

Menerusi satu hantaran di Facebook Istana Negara, baginda dilihat meluangkan masa hampir satu jam hingga tengah hari tadi menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa-mangsa banjir di PPS tersebut.

“Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mereka dengan harapan ianya dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat musibah banjir kilat susulan hujan lebat sejak 48 jam lepas,” menurut hantaran tersebut.

Bagaimanapun, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat yang terkesan akibat banjir ini supaya bersabar dan reda dalam menghadapi ujian serta dugaan yang menimpa mereka.

Baginda turut menyeru agensi-agensi kerajaan untuk turun menghulurkan segala bentuk bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara dengan lebih pantas, termasuk khemah-khemah yang mencukupi di PPS untuk keselesaan mangsa-mangsa banjir.

Rakyat juga diseru untuk bersama Baginda mendoakan semoga cuaca akan bertambah baik dan bencana banjir tidak berlarutan serta fenomena banjir terbesar pada tahun 1971 tidak berulang.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast