Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah flood victims Covid-19 positive infectious diseases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sejumlah 390 mangsa banjir dikesan positif Covid-19, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes itu dikesan di tujuh negeri yang dilanda banjir sejak Sabtu lalu.

“Bagaimanapun tiada kes baharu positif Covid-19 dikesan di PPS (pusat pemindahan Sementara),” kata Noor Hisham.

Noor Hisham berkata jumlah kes itu daripada sejumlah 61,264 mangsa banjir yang ditempatkan di 384 PPS di seluruh negara.

Buat masa ini, tujuh negeri terlibat dengan bencana banjir iaitu Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur dan Melaka.

Tambah Noor Hisham lagi, 180 kes penyakit berjangkit turut dikesan dalam kalangan mangsa banjir.

“Daripada jumlah itu, 80 kes jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), 57 kes penyakit kulit, 42 kes Acute Gastroenteritis (AGE) dan satu kes konjunktivitis,” kata Noor Hisham lagi.

Mengenai perkembangan kes positif Covid-19 di seluruh negara, Noor Hisham berkata kadar sembuh mengatasi kes baharu Covid-19.

Sejumlah 4,998 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah kes kumulatif sembuh  2,652,585 kes.

Awal hari ini, Noor Hisham memaklumkan 3,510 kes baharu positif Covid-19 dikesan KKM.

Daripada jumlah itu, 95 adalah kes import melibatkan 80 warganegara dan 15 bukan warganegara.

Sejumlah 3,415 kes positif hari ini melibatkan 3,255 warganegara dan baki 160 lagi bukan warganegara.

Sejumlah 329 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) meliputi 255 kes positif Covid-19, manakala 74 lagi kes disyaki berkemungkinan dan kes dalam siasatan.

Sementara 179 kes lagi memerlukan bantuan pernafasan dengan 121 kes disahkan Covid-19, 58 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

“Daripada 3,510 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 59 kes adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,451 kes lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” jelas Noor Hisham lagi. – MalaysiaGazette