KUALA LUMPUR – Tiga papan iklan didirikan di Balai Polis Hartamas dan Balai Polis Kepong bagi menyampaikan hebahan berkaitan aktiviti anti jenayah kepada orang ramai.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, papan iklan tersebut akan menyiarkan kempen melibatkan program cegah jenayah, anti-penipuan, aktiviti polis dan masyarakat.
“Terdapat empat tapak telah diberikan Kontinjen Polis Kuala Lumpur dengan pecahan dua tapak di Balai Polis Sri Hartamas dan masing-masing satu tapak di Balai Polis Kepong serta Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.
“Di sekitar Kuala Lumpur pula terdapat lebih dari 20 unit Paparan Iklan Billboard Digital WOW Media.
“Pembinaan dan pelaksanaannya dilakukan dalam tempoh lebih kurang tiga hingga empat bulan,” katanya semasa berucap melancarkan papan iklan digital di Balai Polis Hartamas di sini hari ini.
Tambahnya, Wow Media Sdn Bhd berfungsi sebagai medium untuk menyampaikan informasi kepada masyarakat melalui papan iklan digital.
“Pada tahun 2021, cadangan bagi sewaan tapak premis milikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah dibuat, dan pihak Wow Media Sdn Bhd telah mengemukakan permohonan sewaan tersebut.
“Saya yakin, dengan kerjasama di antara pihak PDRM dan Wow Media ini akan memberi manfaat kepada dua-dua belah pihak khususnya pihak syarikat dengan dapat memperluaskan lagi perkhidmatan pengiklanan digital mereka,” jelasnya. – MalaysiaGazette