Keadaan sekitar Pulau Pinang selepas dibadai tsunami pada tahun 2004. -Gambar ihsan pembaca

GEORGE TOWN – “Lihat keadaan banjir di Selangor membuatkan saya mengimbau semula tragedi tsunami yang melanda perkampungan nelayan di Tanjung Bungah di sini”.

Demikian luahan Fatimah Ahmad, 73, antara mangsa tragedi tsunami 17 tahun lalu yang hampir meragut nyawa ahli keluarganya.

Kata Fatimah, masih segar dalam ingatannya Kampung Masjid yang didiami golongan nelayan berhampiran Masjid Terapung di sini lenyap dibadai ombak sekelip mata.

Fatimah.

“Ikutkan hati memang nak padamkan tragedi tsunami dalam ingatan tapi bila lihat banjir di Selangor membuatkan saya memgimbau semula apa yang kami dilalui.

“Selain itu, melihat laporan banjir di Selangor menerusi kaca televisyen membuatkan saya rasa sebak kerana pernah melalui nasib yang sama,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Mengimbau kejadian pada tahun 2004,  Fatimah berkata, tanggal 26 Disember membuat mereka sekeluarga kenal erti tsunami selain melarikan diri ke atas bukit demi menyelamatkan nyawa masing-masing.

Jelasnya, rata-rata penduduk yang tinggal di kampung ini terdiri daripada nelayan dan rumah masing-masing hanya diperbuat daripada papan dan zink sekali gus membuatkan mereka hilang penempatan akibat dibadai ombak besar.

“Syukur tiada dalam kalangan kami kehilangan ahli keluarga namun selepas dua hari saya lihat sendiri mayat manusia yang dipercayai hanyut dari tempat lain terdampar di celahan kayu rumah.

Kerajaan memberi penempatan baru di Tanjung Bungah kepada mangsa tsunami di Pulau Pinang.

“Tiga bulan saya dan keluarga menetap di sekolah susulan rumah kami rosak akibat tsunami sebelum dipindahkan ke kawasan rumah panjang sebagai penempatan sementara.

“Saya memandang perkara ini sebagai hikmah selepas melihat Masjid Terapung Tanjung Bunga yang sedang dalam pembinaan ketika itu langsung tidak terjejas sedangkan penempatan kami yang hanya beberapa meter dari masjid musnah sama sekali,” ujar Fatimah.

Sementara itu, Faridah Abdullah, 61, berkata, sehingga kini dia masih fobia dengan bunyi ombak serta tanggal 26 Disember.

Faridah.

Ketika diminta mengulas kejadian tsunami 17 tahun lalu, peniaga itu berkata, dia sedang memasak manakala suaminya terpaksa berhenti menunaikan solat apabila air laut berlumpur secara tiba-tiba memasuki ruang rumahnya disertai dengan bau busuk.

Katanya, pelbagai jenis ikan termasuk sotong ‘terdampar’ di ruang tamu dan mereka terpaksa memijak kesemua hidupan laut itu bagi keluar menyelamatkan diri.

“Suasana di kampung itu kelam kabut dengan jeritan penduduk yang masing-masing mahu menyelamatkan diri dan harta benda selepas melihat satu lagi pusaran ombak sedang menuju ke pesisir pantai

“Tidak lama kemudian barulah kami diberitahu orang ramai mengenai bencana yang menimpa negara dan meragut nyawa beberapa pengunjung di pesisir Pantai Miami, kurang satu kilometer dari kawasan perumahan kami.

“Akibat tragedi itu kami lima sekeluarga hilang tempat tinggal dan terpaksa tidur dalam kereta selama seminggu,” katanya yang juga ibu kepada pelayar kebangsaan, Razman Mat Ali.

Ombak gergasi tsunami tercetus berikutan gempa bumi berukuran 9.3 pada skala Richter di bawah dasar laut ke barat pulau Sumatera, Indonesia pada 26 Disember 2004, meragut lebih 200,000 mangsa di Indonesia, Thailand, India, Maldives dan Sri Lanka.

Di Malaysia, Pulau Pinang adalah antara negeri yang paling terjejas yang mencatatkan 52 daripada 68 kematian di seluruh negara. – MalaysiaGazette