Keadaan dalam kedai serbaneka selepas berlakunya pencerobohan berikutan banjir yang berlaku di kawasan setempat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Mydin Mart, Taman Sri Muda, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 DISEMBER 2021.

ALOR SETAR – Mencuri dalam keadaan yang sangat terdesak semasa menghadapi musibah banjir tetap tidak dibolehkan dan berdosa kecuali apabila sudah dihalalkan pemiliknya, kata Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Katanya, walaupun perbuatan itu dilakukan dalam keadaan darurat demi kelangsungan hidup, atau dilakukan dengan niat baik untuk membantu orang lain dalam kesusahan, perbuatan itu tetap salah di sisi agama dan undang-undang negara.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kejadian mangsa banjir di Lembah Klang baru-baru ini dikatakan mencuri barang dari pasar raya demi kelangsungan hidup, dan ada juga yang mengambil makanan dari pasar raya untuk diberikan kepada mangsa banjir yang lain.

“Walaupun berniat baik, caranya tidak betul. Matlamat tidak menghalalkan cara, meskipun matlamatnya adalah baik mahu bantu mangsa banjir,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan Zakat Perniagaan oleh Syarikat Korporat di sini, hari ini.

Sebanyak 16 syarikat menjelaskan zakat perniagaan masing-masing yang keseluruhan berjumlah RM8,112,895.82 dan diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah Datuk Syeikh Zakaria Othman. – Bernama