Antara Al-Quran yang basah disaluti lumpur tetapi masih terpelihara ayat sucinya selepas kawasan kediaman mereka dinaik air akibat banjir berikutan hujan lebat berpanjangan bermula dari pagi sehingga lewat malam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekitar Meru, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 23 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuka enam pusat pengumpulan al-Quran dan buku agama yang rosak akibat bencana banjir.

Lokasi itu ialah Tanah Perkuburan Islam Sungai Serai (Hulu Langat), Tanah Perkuburan Islam Johan Setia (Klang) dan Masjid Al-Madaniah USJ 18, Subang Jaya (Petaling).

Masjid As-Solihin Kanchong Darat (Kuala Langat), Kompleks Islam Daerah Kuala Selangor (Kuala Selangor) dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya (Sepang).

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, semua pihak yang terjejas boleh dan hendaklah menghantar naskah al-Quran dan buku-buku agama yang mengalami kerosakan ke masjid-masjid kariah berdekatan mulai semalam hingga 30 Disember ini sebelum semua naskah itu dikumpulkan di enam lokasi berkenaan.

Pihak masjid perlu memastikan kesemua naskah yang dihantar ditempatkan di ruang yang sesuai, selamat dan bersih serta jauh daripada laluan manusia dan haiwan bagi mengelakkan ia dilangkah dan dipijak,

Manakala bagi tempat penyimpanan tidak berbumbung pula, pihak masjid hendaklah menutup bahan-bahan tersebut menggunakan plastik atau kanvas bagi mengelakkannya basah akibat terkena hujan.

JAIS akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS dan Lembaga Zakat Selangor menguruskan pengangkutan kesemua naskah tersebut dari masjid-masjid dan enam lokasi tersebut sebelum proese pelupusan dilaksanakan. – MalaysiaGazette