MAIS Abdul Aziz Mohd Yusof teach Islam withdraw accreditation political activists Selangor Sultan
Abdul Aziz Mohd Yusof

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik pentauliahan mengajar agama Islam yang telah diberikan kepada aktivis politik berkuat kuasa pada 31 Disember 2021.

Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, keputusan itu bagi menjunjung titah Sultan Selangor yang menitahkan agar agama Islam tidak dipolitikkan dan dijadikan sebagai bahan politik di masjid dan surau oleh mana-mana pihak di negeri itu.

”Bagi menjaga kesucian agama Islam di Negeri Selangor, DYMM Sultan Selangor tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Negeri Selangor serta mencemarkan agama Islam.

”Sultan Selangor turut menitahkan agar tauliah mengajar agama Islam di Negeri Selangor yang telah diberikan kepada mana-mana aktivis politik ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember 2021,” katanya dalam kenyataan di sini.

Selaras dengan titah Sultan Selangor, Jawatankuasa Tauliah MAIS juga akan menyemak semula semua tauliah mengajar agama Islam yang telah dikeluarkan kepada pemegang tauliah di negeri ini.

Zakat LZS

Bagaimanapun, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.

Abdul Aziz berkata, pengecualian ini juga adalah selaras dengan titah Sultan Selangor.

Menurut mengingatkan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 enakmen yang sama adalah menjadi satu kesalahan jika mengajar agama Islam tanpa tauliah.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atas
sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam berhubung dengan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi mana-mana aktivis politik juga adalah satu kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995).

Jika jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette