Penduduk mengaminkan bacaan doa selepas menunaikan solat jumaat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pasca banjir berikutan hujan lebat yang berterusan di Masjid Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2021.

SETIAP kejadian di atas muka bumi termasuk bencana alam yang berlaku merupakan
manifestasi kehendak dan kekuasaan Allah SWT. Allah SWT mengizinkan kesemua yang berlaku sesuai dengan pengetahuan, kebijaksanaan serta menepati keadilanNya sebagai Tuhan yang Maha Menguasai dan Mentadbir seluruh alam. Firman Allah SWT: "Tiada yang menimpa daripada mudarat musibah melainkan dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia membimbing hatinya. Dan Allah itu berkuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah At-Taghabun: 11).

Sokongan spiritual pasca bencana berperanan untuk memulihkan trauma yang dihadapi
supaya kembali berfungsi sebagai seorang manusia.Terdapat pelbagai dimensi dan perspektif dalam memahami maksud kehidupan. Ada segelintir masyarakat melihat bencana yang berlaku sebenarnya adalah disebabkan oleh faktor geografi. Ada juga beranggapan bahawa bencana yang hadir berpunca daripada maksiat atau dosa yang dilakukan oleh ahli masyarakat.

Namun, Islam mengajar musibah yang menimpa adalah untuk menguji keimanan
dan meningkatkan kedudukan seseorang Muslim. Kefahaman yang benar terhadap konsep takdir akan mengubah persepsi atau sudut pandang sesorang. Seseorang mampu mengawal emosinya dan mengarah tingkah laku yang negatif kepada positif, yang pesimis kepada optimis.

Sikap berbaik sangka terhadap ketetapan dan ketentuan Allah SWT menjadikan seseorang melihat musibah itu hakikatnya adalah baik. Boleh jadi sesuatu yang tidak disukai membawa kepada kebaikan, manakala boleh jadi juga kebaikan yang disukai mempunyai keburukan yang tidak mampu dicerapi oleh pancaindera. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 216: “Boleh jadi
kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”.

Dalam hal ini juga, terdapat kata-kata hikmah menyebut “Apa yang kita dapat hari ini belum tentu baik untuk hari esok, apa yang buruk hari ini belum tentu buruk untuk hari esok". Dalam mendepani musibah yang melanda ini, aplikasi sabar dan solat dalam menghadapi ujian dan bencana telah disarankan dalam psikologi Islam mahupun Barat. Dalam Islam, al-Quran berpesan bahawa “Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar. Oleh kerana itu, setiap muslim harus bersifat sabar sebagai tanda menerima ujian Allah dengan hati yang terbuka. Meskipun sabar itu pahit rasanya, namun akhirnya menghasilkan kemanisan lebih daripada madu.

Apatah lagi, jika musibah yang melanda diiringi dengan memperbanyakkan
pelaksanaan solat terutama solat sunat, pasti akan menghasilkan ketenangan serta
memberikan jalan penyelesaian terhadap apa yang berlaku. Sesuailah dengan firman Allah SWT yang menegaskan bahawa “hanya dengan mengingati Allah SWT hati akan menjadi tenang”. (al-Ra’d: 28).

Pendekatan psikoterapi Islam yang terdiri daripada memahami konsep takdir, sabar dan solat pada pasca musibah adalah amat penting untuk dihayati. Hal ini bagi menyeimbangi diri daripada futur atau berputus asa daripada Rahmat Allah. Pendekatan ini bukan sekadar memastikan kekuatan dalaman diri terhadap seseorang, malah memberi impak secara langsung terhadap pemeliharaan maqasid al-syariah khususnya daripada aspek agama dan akal. Dalam keadaan musibah yang melanda, barangkali mereka yang terlibat berasa kusut, berduka dan pelbagai perasaan lain. Bagi menghilangkan perasaan tersebut, amalan seperti zikrullah melalui solat mampu menimbulkan ketenangan kepada jiwa.

Secara tidak langsung mampu memperkukuhkan agama dalam diri dan masyarakat dengan syarat ia dilakukan dengan penuh penghayatan. Pemeliharaan akal juga dapat dipelihara melalui konsep takdir yang dianjurkan melalui psikoterapi Islam. Pada pasca musibah, penekanan terhadap segala yang berlaku adalah dengan izin dan kehendak Allah SWT mestilah dipasakkan sebaiknya.

Walaupun begitu, tidaklah hingga menafikan usaha daripada manusia untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupannya. Bahasa mudahnya, sekalipun ada daya dan usaha daripada makhluk, namun Allah SWT jualah yang menentukan segala-galanya. Dalam realiti musibah yang melanda, konsep taqdir ini jika dipasakkan sebaiknya mampu mewujudkan sikap reda dalam diri setiap insan, disamping mampu mewujudkan sikap baik sangka terhadap ketentuan Allah SWT.

Sebagai kesimpulan, setiap muslim perlu sentiasa yakin bahawa setiap kesulitan pasti diikuti dengan kemudahan atau kelapangan. Bencana yang hadir pasti akan berlalu kerana ia merupakan sunnatullah yang silih berganti sebagaimana siang dan malam bersilih ganti, air pasang dan surat sering bertukar. Allah SWT Maha Adil dan lagi Maha Bijaksana mengurus atur alam tanpa kekurangan mahupun cacat cela. Kasih sayang Allah SWT sentiasa wujud bersama takdir yang pahit menimpa kerana Allah Hakim melakukan sesuatu dengan penuh hikmah.

Dr. Mohd Syukri Bin Zainal Abidin
Pensyarah Kanan, Jabatan Akidah & Pemikiran Islam,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Dr. Muhammad Safwan Harun
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast