Ahmad Ridhwan menunjukkan barang dan senjata yang dirampas dari Geng Gopi dengan tertangkapnya 4 suspek termasuk ketua geng Gopi tak sampai 24 jam memecah rumah pada 28 Disember lalu.Ihsan IPD Kuala Langat

KUALA LUMPUR – Kumpulan pecah rumah dan samun kenderaan dikenali Geng Gopi yang aktif melakukan jenayah itu di Klang dan Banting, Selangor tumpas di tangan polis dengan tertangkap ketua dan beberapa anggotanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pecah rumah di Telok Panglima Garang pada petang Selasa lalu.

“Mangsa yang bekerja sebagai pemandu dalam laporan itu mengatakan bahawa rumahnya di Batu 10 Telok Panglima Garang telah dipecah masuk oleh beberapa individu tidak dikenali.

“Mangsa juga mengadu hasil pemeriksaannya barang-barang yang didapati hilang dari kediamannya adalah helmet jenis LS2, passport, kunci kenderaan dan sebuah motokar jenis Proton Iswara milik majikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas maklumat tersebut, ujar beliau, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Kuala Langat dan Balai Polis Telok Panglima Garang telah membuat serbuan di sebuah premis kimpalan paip terbiar di Batu 4, Seksyen 36, Shah Alam.

Tambah beliau, hasil serbuan tersebut, polis menahan dua lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warganegara asing pada jam 6 petang.

“Hasil pemeriksaan ke atas mereka polis juga berjaya menemui semula kunci dan kenderaan mangsa serta merampas sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di kawasan Klang Selangor.

“Hasil soal siasat lanjut dan berpandukan maklumat tiga suspek pertama yang ditangkap, polis melakukan serbuan kedua jam 11 malam hari sama kejadian di satu lagi tempat iaitu di Bukit Kemuning, Klang sebelum berjaya memberkas ketua kumpulan yang juga warga tempatan di rumahnya.

“Polis juga merampas semula passport milik mangsa daripada ketua geng tersebut,” ujar beliau.

Menurut Ahmad Ridhwan, kesemua suspek yang ditangkap tidak bekerja dan berumur lingkungan 30an dan masing–masing mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah manakala ketua kumpulan itu mempunyai 21 rekod jenayah lampau.

Katanya, polis percaya menyelesaikan enam kes pecah rumah dan dua kes curi kenderaan di Telok Panglima Garang dan Klang dengan tertangkapnya suspek tersebut.

“Kesemua suspek kini telah direman selama empat hari dan ditahan di Lokap Balai Polis Banting di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes sedang disiasat di bawah seksyen 457/379A Kanun Keseksaan iaitu memecah masuk rumah dan mencuri kenderaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun hingga tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan,” kata beliau. – MalaysiaGazette