Razarudin Husain @ Abd Rasid

KUALA LUMPUR – Polis mengenal pasti lokasi persembunyian seorang kingpin (raja dadah) yang mendalangi kegiatan pengedaran dadah di dalam negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, suspek yang merupakan seorang ahli perniagaan berasal dari sebuah negeri di utara tanah air kini bersembunyi di salah sebuah negara Asean.

Katanya, pihaknya telah mendapatkan kerjasama Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa (Interpolis) untuk mengesan suspek.

“Kita juga sedang menggunakan elemen penguatkuasaan narkotik dengan kerjasama erat bersama beberapa negara sejagat iaitu Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina, Australia dan New Zealand.

“Individu dikehendaki itu telah berjaya melarikan diri ke luar negara sejurus menyedari polis dan kastam telah merampas sebuah kontena yang mengandungi dadah berjumlah besar yang bersedia untuk diseludup ke luar negara menerusi pelabuhan dan telah mengeluarkan waran tangkap ke atas dia dan sedang giat diburu,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, hari ini.

Tambah beliau, siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mendapati suspek turut terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram yang berselindung di sebalik perniagaan yang sah di negara ini.

Ia membabitkan perniagaan dalam sektor perkapalan, pengangkutan, perhotelan dan pelancongan serta logistik yang  bertujuan mengaburi pihak berkuasa, ujarnya.

Menurut Razarudin, pihaknya dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya menyita perniagaan yang dijalankan individu berkenaan dan kuncu-kuncunya.

Semenatara itu, beliau yang mengakui Malaysia menjadi lokasi transit pengedaran dan penyeludupan dadah berkata, sebanyak 279 sindiket dadah ditumpaskan membabitkan tangkapan 1,147 individu sehingga 30 November lalu mana terdapat dalangnya diketuai golongan kenamaan bergelar Datuk.

“Kingpin ini dia aktif mengedar dadah di dalam negara membabitkan penagih tempatan atau menyeludup ke luar negara yang berjaya dilumpuhkan serta diberkas polis.

“Ada juga sindiket diketuai individu bergelar usahawan yang berselindung di sebalik perniagaan mereka untuk menjalankan pengedaran dadah di dalam dan luar negara.

“Kewujudan mereka yang digelar kingpin atau raja dadah sebagai dalang besar kegiatan pengedaran dadah di negara ini dibimbangi memonopoli ekonomi gelap seterusnya merugikan negara,” ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan dianggarkan menanggung kerugian RM158.1 juta menerusi sitaan aset yang dipercayai tidak membayar cukai kerana menjalankan kegiatan mengedar dadah. – Malaysiagazette