Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – “Selagi khidmat saya diperlukan, saya akan terus kekal di sini sehingga penghujung karier kerana selepas 14 tahun, berat rasanya untuk saya bermain dengan pasukan lain tambahan saya memang dari Negeri Sembilan.”

Demikian kata penjaga gol Negeri Sembilan FC, Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman.

Kaharuddin yang bakal menginjak 31 tahun pada tahun depan mengakui terharu kerana diberikan peluang lebih daripada satu dekad bersama pasukan bereknaan selain melalui pelbagai zaman suka dan duka bersama Negeri Sembilan.

Malah, Kaharuddin mendedahkan pernah menerima tawaran dari pasukan lain namun menolaknya kerana sukar buat dirinya untuk menyarung jersi pasukan selain Negeri Sembilan.

“Selain saya sememangnya anak jati Seremban, mungkin rezeki telah ditetapkan di sini malah faktor tidak mahu berjauhan dari keluarga menjadi punca utama saya mahu kekal di Negeri Sembilan.

“Sepanjang saya di sini, memang ada dapat tawaran dari pasukan lain tetapi saya tolak kerana mungkin lebih suka mewakili negeri sendiri.

“Malah buat masa ini, saya telah mengambil kursus kejurulatihan sebagai perancangan awal hadapi persaraan sambil berharap mungkin ada rezeki pula di bidang kejurulatihan, satu hari nanti membantu pasukan Piala Belia atau Presiden,” katanya.

Kaharuddin memulakan karier di skuad Piala Presiden Negeri Sembilan pada 2009 sebelum khidmatnya turut diserap dalam pasukan senior pada tahun berikutnya.

Malah pada aksi final Piala FA 2010 berdepan Kedah, dia menjadi penjaga gol kedua selepas Sani Anuar Kamsani yang menyaksikan kejuaraan buat Negeri Sembilan.

Sementara itu, Kaharuddin berharap musim 2022 bakal menjadi permulaan kebangkitan semula skuad Hobin Jang Hobin di persada Liga Malaysia selepas melalui era yang suram pada beberapa musim lalu.

“Kami telah muncul juara Liga Premier musim lalu dan harap perkara itu memberikan kami lebih keyakinan serta semangat untuk berikan cabaran hebat di saingan Liga Super 2022.

“Kalau boleh saya hendak pasukan berada lama dalam di Liga Super serta konsisten malah mahu nama Negeri Sembilan digeruni seperti dahulu apabila kami bersilih ganti masuk final Piala Malaysia dan Piala FA.

“Semua pasukan takut hendak jumpa Negeri Sembilan pada masa itu malah saya berbangga berada dalam skuad itu semasa permulaan karier bersama pasukan.

“Harap memori serta detik manis itu boleh berulang lagi buat Negeri Sembilan, ” katanya. – MalaysiaGazette