IPOH – Seorang buruh dihukum penjara enam tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, pada Sabtu lepas.

Hakim Norita Mohd Ardani menjatuhkan hukuman itu ke atas seorang lelaki berusia 38 tahun dan memerintahkannya menjalani hukuman tersebut bermula hari ini, selain pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu di belakang sebuah rumah di Kampung Chulek, Kampar, pada pukul 9 malam, 25 Disember lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebatan serta hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis bagi satu tempoh minimum setahun dan maksimum tiga tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Amanina Zulkefli  memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran supaya tertuduh yang mempunyai talian persaudaraan dengan mangsa tidak mengulangi kesalahan sama dan juga kepada orang ramai.

Lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung bapanya yang sakit.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, semasa ibu kanak-kanak itu berada di hadapan sebuah rumah, anaknya datang kepadanya sambil menangis dan memberitahu tertuduh mengajaknya ke bahagian belakang rumah itu, lalu menceritakan insiden tersebut.

Ibu kanak-kanak itu terus membuat laporan polis dan tertuduh kemudian ditangkap pada 12.45 pagi, 26 Dis lepas. – Bernama