Penerima makanan kucing ketika Kelab Kucing Malaysia bersama Seksyen Kebajikan Haiwan Malaysia memberi sumbangan makanan kucing kepada mangsa banjir di Petronas Bukit Nanding, Hulu Langat, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 31 DISEMBER 2021.

HULU LANGAT – Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) akan menganjurkan misi rawatan perubatan secara percuma bagi membantu haiwan yang terkesan akibat banjir di Petronas Bukit Nanding di sini bermula esok.

Menurut Pensyarah Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Farina Mustaffa Kamal, rawatan perubatan yang ditawarkan kepada anjing dan kucing itu akan dilakukan sehingga Ahad ini bermula pada pukul 9 pagi sehingga pukul 6 petang.

“Orang ramai boleh datang untuk dapatkan rawatan perubatan asas bagi haiwan peliharaan mereka yang terkesan akibat banjir di sini bermula esok.

“Namun sekiranya ada kes-kes yang lebih teruk, kami akan rujuk ia kepada klinik veterinar berdekatan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pensyarah Falkuti Perubatan Veterinar UPM, Dr. Farina Mustaffa Kamal. Foto AMIRUL SHAUFIQ 31 DISEMBER 2021.

Jelas Farina, inisiatif yang dijalankan itu merupakan rentetan daripada misi kecemasan dan perubatan yang diadakan selama tujuh hari di Taman Sri Muda, Shah Alam baru-baru ini.

Misi berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Universiti Putra Malaysia (UPM), Persatuan Doktor Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA) serta Kelab Kucing Malaysia, katanya.

Tambah Farina yang juga merupakan Exco MAVMA, rawatan perubatan secara percuma itu diteruskan di daerah tersebut selepas pihaknya menerima banyak permintaan daripada orang awam.

“Kami sebenarnya mendapat permintaan daripada orang awam dan badan bukan kerajaan untuk kami tawarkan rawatan percuma seperti di Taman Sri Muda, jadi sebab komuniti kami agak kecil jadi kami tak dapat buka serentak, selepas habis di Taman Sri Muda kami putuskan untuk buka di sini pula,” katanya. – MalaysiaGazette