Pakar bedah bariatrik pusat perubatan CENGILD, Dr Mustafa Mohamed Taher menunjukkan trofi yang dimenangi sebagai salah seorang pakar bedah Bariatic terbaik di Asia Tenggara pada jamuan minum petang di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Pembedahan bariatrik bukan sahaja mampu membantu individu untuk mengurangkan berat badan dan memberi lebih keyakinan dalam menjalankan tugas harian mereka.

Sebaliknya, ia juga boleh merawat masalah kencing manis (diabetes) dan darah tinggi yang dihadapi oleh mereka sejak bertahun-tahun.

Pakar bedah bariatik, Dr Mustafa Mohamed Taher berkata, pembedahan itu turut membantu masalah tidur yang teruk, kemandulan, asma, serangan panik, kemurungan, sakit lutut, sakit belakang dan anti-sosialisme.

Dr Mustafa yang  telah melakukan lebih daripada 2,000 pembedahan bariatrik di klinik swasta sepanjang tempoh tiga tahun yang lalu berkata, kebanyakan pesakitnya sebelum ini mengalami masalah obesiti dan berat badan berlebihan hingga mengakibatkan pelbagai komplikasi kesihatan serta halangan kepada pelbagai aktiviti harian mereka.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, sekurang-kurangnya 50.1 peratus daripada populasi dewasa kini dilaporkan mengalami berat badan berlebihan (30.4 peratus) atau obes (19.7 peratus).

“Statistik ini sangat membimbangkan kerana obesiti adalah penyumbang utama kepada pelbagai penyakit berbahaya dan masalah obesiti merupakan masalah yang lebih besar daripada Covid-19,” katanya dalam satu majlis bersama media bagi meraikan kejayaannya sebagai salah seorang pakar bedah bariatik di Asia Tenggara, hari ini.

Mohd Hasli Alfie Ahmad Sobri menunjukkan gambar sebelum melakukan pembedahan bariatrik. Foto MOHD ADZLAN, 01 JANUARI 2022.

Sementara itu, seorang pesakit, Mohd Hasli Alfie Ahmad Sobri, 42, yang lebih mesra dipanggil Chef Bob berkata, sebelum ini beliau mempunyai berat badan 200 kilogram dan telah mendapatkan rawatan dengan Mustafa.

Katanya, beliau telah berada di atas kerusi roda selama tiga tahun dan menggunakan keluli untuk menyokong kakinya kerana masalah obesiti yang teruk.

Bagaimanapun katanya, beliau berjaya menurunkan berat badan sebanyak 130 kilogram dalam tempoh setahun selepas pembedahan dan dia kini menjalani kehidupan normal semula.

“Sekarang berat saya adalah 60 kilogram…cuma satu kita kena faham, bukan hari ini kita jalani pembedahan, esok sudah pakai kebaya, tetapi ianya memerlukan masa untuk mencapai berat yang ideal seperti sekarang.

“Enam bulan pertama saya lakukan pembedahan, berat saya agak turun naik dan selepas beberapa siri nasihat dan panduan yang diberikan, saya telah berjaya mencapai berat sekarang.

“Sekarang saya boleh berjalan dan berlari dan hari ni juga saya boleh menaiki tangga…jika dahulu saya agak malu sekiranya perlu hadir ke majlis yang perlu menggunakan anak tangga kerana tidak mahu menyusahkan orang lain, sekarang saya sudah boleh berjalan sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette