Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyampaikan bantuan kepada nelayan terjejas di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan melaksanakan pasar bergerak di 160 lokasi terpilih di kawasan terkesan banjir dalam masa terdekat.

Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ia bagi membantu rakyat terutamanya mereka yang terkesan musibah bencana alam baru-baru ini.

Menurutnya, menerusi pasar bergerak tersebut, ia sekali gus membantu orang ramai mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah.

“Barangan yang ditawarkan sama seperti pasar cuma lebih murah, secara langsung memberi bantuan secara umum kepada semua pembeli.

“Sebanyak lapan pasar bergerak akan disediakan ke lokasi ditetapkan dengan sasaran operasi 20 kali sebulan di 160 lokasi.

“Harga barang keperluan yang ditawarkan 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikan selepas lawatan pasca banjir dan penyerahan bantuan kepada kakitangan dan nelayan di Wisma LKIM di sini hari ini.

Ketika ditanya tentang harga dan bekalan ikan ketika musim tengkujuh, beliau berkata, ia tidak menghadapi masalah kerana tidak semua negeri terlibat dengan bencana banjir kali ini.

“Aktiviti nelayan dan pendaratan ikan di beberapa negeri masih berjalan termasuk di jeti LKIM di Kuantan. Bot-bot nelayan masih mendarat bersama hasil tangkapan dengan harga yang masih munasabah ketika hasil tinjauan pada pagi tadi di jeti,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Elaun Sara Hidup sebanyak RM300 bagi komuniti nelayan diteruskan di samping pemberian bantuan  bakul makanan kepada nelayan yang menjadi mangsa banjir. – MalaysiaGazette