Keadaan ribuan batang kayu hanyut berikutan banjir kuat yang melanda ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Karak, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 28 DISEMBER 2021.

Saudara pengarang,

Usah menyalahkan alam dek kerana tamak haloba diri sendiri. Hari demi hari kita dikejutkan dengan pelbagai jenis ancaman alam termasuk cuaca panas yang melampau pada awal tahun lepas sehingga sekitar bulan September kerana fenomena gelombang haba yang luar biasa sehingga National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) merekodkan suhu permukaan laut yang tertinggi pernah dilaporkan pada bulan Julai dalam 142 tahun. Ibarat pepatah “hinggap bak langau, titik bak hujan”, negara ini dilanda bah yang menenggelami sebahagian besar daripada negara ini sejak dua minggu yang lalu. Kejadian banjir yang melanda kali ini dilaporkan antara yang terburuk dalam sejarah bencana di Malaysia sejak tahun 1971. Sehingga ke hari ini (4 Januari 2021), hampir 50 orang maut dan lebih 200,000 mangsa banjir di seluruh negara dipindahkan ke pusat-pusat penempatan sementara.

Luluh hati melihat keadaan mangsa dan mendengar luahan hati mereka yang terjejas apabila berkesempatan menjadi sukarelawan membantu dalam aktiviti pengagihan barangan keperluan kepada mangsa banjir dan aktiviti pembersihan selama dua minggu ini. Rumah dipenuhi selut dan lumpur yang tebal, peralatan dan perabot mengalami kerosakan teruk, manakala jumlah mangsa yang terjejas juga semakin meningkat hari demi hari. Belum hilang rasa penat melakukan kerja-kerja pasca banjir, dikhabarkan pula mengenai gelombang kedua di beberapa tempat mengakibatkan kenaikan air sekali lagi susulan hujan lebat yang berterusan. Apakah kesudahan kepada episod bencana kali ini, dimanakah salah kita sebenarnya dan adakah kita akan terus berada dalam keadaan ibarat telur di hujung tanduk untuk berdepan dengan peristiwa yang sama setiap tahun? Ini antara persoalan yang sedang hebat dipertanyakan oleh rakyat Malaysia pada ketika ini.

Sebenarnya, kejadian banjir di negara kita bukanlah sebuah perkara yang baru dan tidak lagi menghairankan umpama sudah menjadi sebuah kebiasaan terutama di sebelah Pantai Timur seperti negeri Kelantan dan Terengganu, manakala kejadian banjir kilat di sebelah Pantai Barat. Kebanyakkan daripada komuniti pesisir pantai juga memiliki sekurang-kurangnya sebuah bot atau sampan setiap keluarga dan bersedia menanti musim luruan monsoon yang menyebabkan taburan hujan yang lebih tinggi dari biasa. Namun, adakah keadaan ini akan menjadi berterusan, dibiarkan melarat dan ditunggu sehingga musibah yang lebih teruk menimpa?

Pada pendapat saya, kekerapan berlakunya bencana alam di negara kita sejak kebelakangan ini bukanlah kerana faktor semulajadi tetapi berpunca daripada kerakusan kita sendiri yang terlalu menggilakan kekayaan duniawi sehingga sanggup mengeksploitasi bumi dan merosakkan alam sekitar dengan aktiviti yang mungkin menguntungkan untuk jangka masa yang pendek tetapi menyebabkan kerugian dari segi kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda serta mengakibatkan kemusnahan alam yang kekal selamanya.

Antaranya adalah penggondolan kawasan tadahan hujan, kepincangan perancangan guna tanah dan pencemaran tidak terkawal. Aktiviti pembalakan semakin tahun semakin membimbangkan menyebabkan litupan hutan kian menyusut di kawasan tadahan hujan. Kesan pembangunan yang tidak lestari juga boleh mengakibatkan berlakunya pelbagai bencana alam khususnya di kawasan tanah lembap seperti tanah bencah, paya dan tasik. Aktiviti pembandaran yang tidak terancang juga adalah antara faktor utama berlakunya banjir dan sering dikaitkan dengan kemusnahan kawasan tadahan air. Hutan mempunyai fungsi yang sangat penting untuk menghalang daripada berlakunya bencana banjir.

Struktur fizikal pokok sendiri termasuk batang dan akar mampu bertindak sebagai penghalang semula jadi untuk mengelakkan air hujan menimpa terus ke tanah menyebabkan pengurangan yang signifikan terhadap kelajuan aliran air hujan yang mengalir ke sungai seterusnya mengurangkan risiko limpahan sungai ketika hujan lebat. Pada masa yang sama, susur akar juga mampu meningkatkan cengkaman tanah yang boleh menyebabkan pergerakan tanah ke dalam sungai diperlahankan yang boleh mengurangkan risiko hakisan sungai dan tanah runtuh sekaligus mengurangkan kandungan air dalam tanah dengan peningkatan kadar penyerapan air hujan ke dalam akar pokok.

Manakala, pencemaran seperti longgokkan sampah, kayu dan batu di dalam sistem saliran air boleh menyebabkan aliran air terganggu dan mengalir dengan perlahan serta tidak mampu mengalirkan air hujan keluar dengan cepat sekiranya berlaku hujan lebat secara tiba-tiba. Sama seperti ketidakupayaan sistem perparitan untuk menampung kapasiti air yang besar dan pergerakan saliran air yang deras yang mungkin dihalang oleh mendapan tanah akibat daripada hakisan atau pengumpulan sampah atau saiz parit sendiri yang tidak memadai kerana perancangan bandar yang kurang efisien menyebabkan risiko air melimpah keluar ketika hujan lebat.

Disamping itu, aktiviti manusia yang semakin lama semakin rancak terutama di kawasan-kawasan bandar mempengaruhi sistem peraturan iklim semulajadi dan menyebabkan pelbagai kesan buruk kepada kita dan alam sekitar. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa perubahan iklim dan pemanasan global adalah antara penyumbang utama kepada kejadian bencana khususnya banjir yang semakin kerap berlaku di negara kita oleh kerana cuaca yang melampau dan tidak menentu.

Secara keseluruhannya, sistem pengurusan risiko di negara kita mesti dikaji semula dengan kadar segera untuk memastikan peristiwa banjir seperti yang melanda negara kita tahun ini dan sebelumnya tidak berulang lagi. Amat penting juga untuk pihak kerajaan mula akur bahawa kekerapan kejadian bencana alam ini adalah akibat daripada aktiviti manusia yang tidak terkawal. Hal ini memerlukan kerjasama antara agensi supaya punca berlaku bencana dapat dikenalpasti dan diteliti serta langkah menangani yang lebih strategik dan berstruktur dijalankan dengan lebih rapi. Tidak terkecuali juga keperluan adanya program-program kesedaran awam untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Malaysia sendiri dalam menghadapi bencana misalnya berada dalam keadaan yang sentiasa bersedia dan peka terhadap isu-isu semasa dan amaran yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Seterusnya mereka juga perlu ada kesedaran tentang penjagaan alam sekitar dan memahami konsekuen tindakan seharian mereka yang boleh menjejaskan kualiti alam sekitar sekaligus menyebabkan peningkatan frekuensi berlakunya bencana alam seperti banjir.

Tuntasnya, sifat mementingkan diri dan ketamakan kekayaan material tanpa memikirkan keseimbangan ekosistem dan kelestarian alam jelas merugikan dan mewujudkan bencana yang memberi pelbagai kesan buruk kepada manusia dan hidupan lain di muka bumi ini. Saya berpendapat bahawa sekiranya seseorang itu membiarkan sesuatu perkara yang boleh membahayakan diri dan orang lain tanpa melakukan apa-apa walau jelas mengetahui puncanya adalah umpama merancang untuk membunuh diri dan keluarganya sendiri.

Di kesempatan ini juga saya ingin memanjangkan rasa simpati kepada semua mangsa banjir dan semoga terus cekal menghadapi tempoh yang mencabar ini. Penghormatan saya juga kepada para sukarelawan yang tidak jemu membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara. Saya sendiri berpeluang untuk berganding tenaga dengan beberapa sukarelawan yang datang beratus kilometer jauhnya semata-mata untuk membantu dalam operasi menyelamat dan menjadi sukarelawan aktiviti pasca banjir. Saya berasa amat terharu melihat semangat permuafakatan ini dan harapan saya adalah supaya kesepakatan Keluarga Malaysia ini turut dapat diamati dalam usaha membantu melindungi dan menjaga alam sekitar kerana beringatlah bahawa bumi ini satu-satunya rumah yang kita ada!

Mogesh Sababathy
Aktivis Alam Sekitar
Pengasas Bersama Projek Ocean Hope
Wakil Malaysia ke Youth4Climate, Milan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast