Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang bercakap pada sidang media khas SPRM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berpuas hati dengan penjelasan yang diberi oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung isu pemilikan saham yang didakwa atas namanya.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, Azam tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pemilikan saham seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Katanya, panel lembaga itu telah memanggil Azam pada 24 November lalu untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu yang tular di media sosial sehingga mencetuskan  persepsi negatif terhadap suruhanjaya itu.

Ujarnya, Azam menjelaskan bahawa adiknya yang bernama Nasir telah menggunakan akaunnya untuk membeli saham berkenaan pada tahun 2015.

Azam turut menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan bagi pembelian mahupun pemilikan saham berkenaan.

“Pada masa yang sama, pembelian saham-saham tersebut dibuat di pasaran  terbuka dan tiada sebarang pencanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham berkenaan pada tahun 2015.

“Justeru, LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau konflik kepentingan dalam perkara tersebut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abu Zahar memberitahu, LPPR bercadang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada masyarakat dalam masa yang tertentu, tetapi malangnya isu tersebut telah dibangkitkan terlebih dahulu oleh bekas Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Dr. Edmund Terence Gomez.

Jelasnya, pendedahan Edmund itu amat mengejutkan.

“Sebagai seorang terpelajar dan Ahli Jawatankuasa PPPR, tentu sekali Dr. Edmund tahu struktur dan tanggungjawab semua lima panel yang bebas memantau semua pentadbiran SPRM.

“Oleh demikian, saya berpendapat dia mempunyai tiga opsyen untuk mengemukakan perkara-perkara yang beliau tidak puas hati kepada LPPR atau Jawatankuasa Aduan (JKA).

“Saya percaya dan yakin bahawa masalah yang beliau musykilkan boleh diambil tindakan  sewajarnya kerana dalam semua ahli jawatankuasa tersebut tiada seorang pun pegawai-pegawai dari SPRM justeru mereka boleh secara bebas membuat keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette