Banjir Lubok cina
Operasi menyelamatkan mangsa banjir di Lubok Cina Melaka.

MELAKA – Melaka sedang mengkaji kemungkinan menaikkan jumlah bantuan bencana banjir daripada RM200 yang diberikan ketika ini kepada RM1,000 pada masa hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, cadangan itu akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kerana ia perlu diperhalusi mengikut kemampuan kewangan kerajaan.

“Biasanya kita bagi RM200 serta-merta kepada mangsa banjir dan saya ada sebut dulu kita kaji balik mungkin boleh bagi RM500 ke, RM400 ke, RM300 ke atau tambah lagi RM50 mengikut kemampuan kerajaan negeri.

“Kalau hasil kerajaan itu banyak mengapa tidak kita beri. Mungkin boleh beri lebih RM1,000 tapi kita berbelanja ikut kemampuan kita sendiri,” katanya pada sidang media di Seri Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, setakat ini kerajaan negeri mengamalkan prosedur mudah untuk menerima bantuan banjir kerana  mangsa banjir tidak perlu menunggu lama.

“Waktu mangsa banjir duduk di PPS (pusat penempatan sementara) lagi kita dah beri bantuan, kita permudahkan dan percepatkan tidak perlu lagi buat laporan polis dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette