Radzi Md Jidin RMT Supplementary Food Programme white rice with gravy
Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Murid yang mengalami kerosakan buku teks akibat banjir tidak perlu membayar ganti rugi atau menggantikannya dengan buku teks baharu bagi menjalani sesi persekolahan yang bermula minggu depan, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata ini kerana kementerian itu akan memastikan usaha menggantikan buku teks yang rosak kepada mereka yang terjejas dilaksanakan segera bagi membolehkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berjalan dengan teratur dan lancar.

“Berdasarkan rekod yang ada pada Kementerian Pendidikan (KPM) sehingga ke hari ini, sebanyak 263,662 naskhah buku teks rosak akibat banjir melibatkan 14,422 orang murid seluruh negara.

“KPM mempunyai stok mencukupi untuk menggantikan buku yang rosak bagi membolehkan murid mengikuti sesi PdP pada minggu hadapan,” katanya dalam perkongsian video di Facebook rasminya hari ini.

Radzi berkata demikian berikutan KPM menerima banyak pertanyaan berhubung buku teks sekolah yang rosak akibat banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

Beliau berkata bagi tujuan itu, guru-guru akan mencatatkan jumlah buku teks yang rosak akibat banjir sebelum memberikan buku teks baharu.

Menerusi video itu, beliau berharap murid yang terjejas terus tabah dan bersemangat untuk kembali ke sekolah.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast