Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) berbincang dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor sempena lawatan pasca banjir daerah Kota Marudu di Dewan Komuniti Kota Marudu.

KOTA MARUDU- Semua pihak harus memberi ruang kepada pihak berkuasa melakukan siasatan sepenuhnya terhadap dakwaan pembelian saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata siasatan berhubung kes itu kini dilakukan pelbagai pihak, antaranya Suruhanjaya Sekuriti selain siasatan dalaman oleh SPRM sendiri, dan ia sekali gus menolak dakwaan beberapa pihak bahawa kerajaan berdiam diri.

“Saya sentiasa dimaklumkan, dan memantau isu berkaitan SPRM, tindakan telah diambil dan gambaran diberikan kerajaan berdiam diri adalah salah. SPRM merupakan suruhanjaya bebas (dan) ada tatacara sendiri kendalikan perkara seperti ini.

“Kita tunggu selesai siasatan, kita tidak boleh ‘jump into conclusion’ seolah-olah Azam Baki bersalah, kita perlu berlaku adil kepada sesiapa sahaja, selepas selesai siasatan baru ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan dan bakul makanan kepada 206 keluarga mangsa banjir Kota Marudu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast