Sebuah kenderaan yang terdapat tulisan 'RIP Sri Muda' di tingkap kereta semasa banjir yang berlaku berikutan hujan lebat berpanjangan bermula dari pagi sehingga lewat malam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Sri Muda, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 22 DISEMBER 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bencana banjir baru-baru ini telah memberikan kesan buruk kepada mereka-mereka yang terkena musibah terutamanya kepada pemilik kenderaaan.

Ada yang mengalami kerugian antara RM1,000 hingga ratusan ribu ringgit disebabkan kenderaan mereka ditenggelami air banjir.

Justeru itu, pengasas bersama Scrut Auto, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel menasihatkan agar pemilik kenderaan itu agar memeriksa invois pembaikan kenderaan daripada bengkel memperbaiki kenderaan sebelum apa-apa persetujuan dibuat.

“Mangsa banjir yang hendak menghantar kereta-kereta mereka yang telah terjejas hendaklah terlebih dahulu menghubungi bengkel-bengkel yang mereka kenali terlebih dahulu, dapatkan slot pemeriksaan dan anggaran harga (sebut harga).

“Jangan terus hantar, kerana kebanyak bengkel sekarang penuh. Pastikan setelah diperiksa, sebut harga diberikan. Jika tidak setuju, rasa mahal, bawa pulang semula kerena anda,” katanya dalam datu kenyataan hari ini.

Langkah itu bagi mengelak daripada pemilik kenderaan terjerat dengan sikap tamak dan suka mengambil kesempatan oleh mana-mana pengusaha bengkel.

Sebuah kereta yang terbalik berikutan hujan lebat yang mengakibatkan beberapa kawasan sekitar Hulu Langat ditenggelami air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 DISEMBER 2021.

Oleh yang demikian, Nik Muhammad Izwan menasihatkan agar pemilik kenderaan yang ditenggelami banjir agar turut cakna dengan kos dan harga alat ganti yang dikenakan kepada mereka.

“Biasa terjadi hal-hal sebegitu adalah disebabkan kecuaian kita sendiri yang bersifat tidak kisah. Seperti kata-kata, ‘buat je apa yang patut, nanti saya bayar.’ Tanpa meminta sebut harga dulu. Untuk pengetahuan, setiap kereta berbeza harga alat ganti dan kos penyelenggaraan,” katanya lagi.

Nik Muhammad Izwan juga menyarankan kereta yang rosak kerana banjir hendaklah dihantar kepada bengkel secepat mungkin bagi mengelakkan kos pembaikan menaik kerana lumpur yang ada di dalam kereta mengeras dan menyukarkan pembaikan.

Dalam pada itu, seorang lagi pengasas Scrut Auto, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin berkata, pihak bengkel juga harus bijak memilih pelanggan bagi mengelakkan kerugian di pihak pengurusan bengkel.

“Tidak mustahil ada pengusaha bengkel yang hendak mengambil kesempatan ke atas musibah banjir kali ini, maka penggunalah yang harus bertindak bijak. Pilih bengkel yang telah dikenali, dapatkan sebut harga sebelum bersetuju dan pastikan jangan menggunakan khidmat broker,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan memberikan baucar sebanyak RM1,000 untuk digunakan bagi tujuan pembaikan atau pembelian bagi menggantikan kenderaan peribadi yang telah rosak sepenuhnya akibat banjir.

Dengan inisiatif itu, ia dapat membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir yang melanda negara pada 18 Disember lalu.

Kerajaan antara lain melaksanakan beberapa inisiatif iaitu menyediakan perkhidmatan tunda kereta melalui Perodua ke pusat servis Perodua secara percuma selain syarikat itu bersetuju memberikan kos upah baik pulih secara percuma dan diskaun sebanyak 50 peratus ke atas alat ganti. – MalaysiaGazette