Serbuan yang dijalankan di premis dua tingkat oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Jalan Aminuddin Baki, TTDI semalam.

KUALA LUMPUR – Polis menahan 35 individu termasuk warga asing dipercayai terlibat dalam parti tertutup yang dianjurkan di sebuah pusat hiburan di Jalan Aminuddin Baki, Taman Tun Dr. Ismail, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan di premis dua tingkat itu dijalankan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sekitar pukul 10.50 malam.

Menurut beliau, ketika anggota tiba di lokasi, pelanggan di dalam premis didapati sedang berhibur sambil minum minuman keras dan tiada penjarakan fizikal.

“Seramai tiga pekerja lelaki diperiksa termasuk 52 pengunjung tempatan yang terdiri daripada 26 lelaki dan 26 wanita sementara 33 individu lagi merupakan 21 lelaki warga asing dan 12 wanita.

“Kesemua warga asing dari 21 buah negara bersama dua individu yang disyaki penganjur dan penjaga premis telah ditahan dalam serbuan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Amihizam, kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit telah dikeluarkan kepada 55 pengunjung kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan setiap kompaun bernilai RM1,000.

Jelas beliau, premis berkenaan turut dikenakan kompaun RM1,000 dengan jumlah keseluruhan adalah RM56,000.

Serbuan yang dijalankan di premis dua tingkat oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Jalan Aminuddin Baki, TTDI semalam.

“Selain mengeluarkan kompaun, kita turut merampas satu unit mixing console, pembesar suara dan mikrofon.

“Kesemua tangkapan berusia 18 hingga 56 tahun itu kemudiannya dibawa ke IPD Brickfields bagi tujuan siasatan lanjut dan ujian air kencing yang dijalankan didapati negatif,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 17 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (Pindaan) 2021.

Amihizam turut memberi peringatan terhadap orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti bertentangan dengan ketetapan Majlis Keselamatan Negara bagi memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan sepenuhnya.

Tambah beliau, sebarang maklumat berkaitan perlanggaran SOP Pelan Pemulihan Negara atau apa-apa perbuatan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03- 2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana alai polis berdekatan. – MalaysiaGazette