Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Hasrat Parti Bangsa Malaysia (PBM) mahu menyertai Barisan Nasional (BN) menimbulkan tanda tanya kepada veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Katanya, sebuah parti yang lahir di Sarawak tapi mahu menyertai BN yang sudah tiada di negeri itu menimbulkan rasa pelik.  

“Rupanya sudah dinampak hebat juga BN ini apabila adanya ahli-ahli parlimen Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang nak mohon jadi parti komponen BN. Mereka tak pula pilih Perikatan Nasional.

“Larry Sng adalah Ahli Parlimen Sarawak, di mana memang dah tak ada BN pun. Tak pula PBM mohon jadi komponen GPS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PBM yang mengadakan mesyuarat semalam mengusulkan agar parti mereka menyertai gabungan BN bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Presiden parti itu yang baru dilantik Larry Sng, berkata usul itu telah dipersetujui barisan kepimpinan baru parti itu yang akan mengadakan sesi perbincangan lanjut dengan Majlis Tertinggi BN  dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Shahrir menasihatkan agar UMNO berhati-hati membuat keputusan  kelak.

“Patut kah BN menerima PBM ni? Kena berhati-hati juga,” kata Shahrir lagi.

Sebelum ini, Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil berkata, penerimaan PBM sebagai komponen baharu BN boleh mendatangkan kesan negatif terhadap hubungan antara gabungan itu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Kata Isham, jika diterima, Presiden Larry Sng pasti akan bertanding di kerusi Parlimen di Sarawak atas tiket dan bendera BN. – MalaysiaGazette