Friday, April 19, 2024
Home Politik AMK serah memorandum kepada SPRM

AMK serah memorandum kepada SPRM

Ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) memegang plakad pada protes ‘Selamatkan SPRM’ selepas berkonvoi dari Bulatan Putra menuju ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia hari ini menyerahkan memorandum kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berhubung dakwaan pemilikan saham dalam beberapa syarikat.

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, mereka menukar strategi untuk tidak menghantar memorandum setebal puluhan muka surat namun sekadar menunjukkan plakad tertera ‘Undur Azam Baki’ sebagai mewakili pandangan rakyat di negara ini.

“Kali ini kita tidak berhimpun atau pun berdemonstrasi beramai-ramai, cukup 13 huruf di belakang ini untuk tunjukkan bahawa kami anak muda ingin terus mempertahankan integriti.

“Isu ini juga bukanlah berkisar mengenai Azam sahaja tetapi ada juga beberapa kes yang menjadi pertikaian, ini merupakan satu krisis, ini adalah darurat integriti,” ujar Ahli Parlimen Johor Bahru itu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir. Foto MOHD ADZLAN, 10 JANUARI 2022.

 

Hadir sama, Naib Ketua AMK, Thiban Subbramaniam dan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.

Terdahulu, kira-kira 20 buah kenderaan dipercayai membawa ahli-ahli AMK berkumpul di dataran itu sambil memegang plakad tertera perkataan ‘Undur Azam Baki’.

Kesemua peserta yang menyertai konvoi AMK ‘Selamatkan SPRM’ itu masing-masing mengenakan baju T berwarna putih dan berkumpul sejak pukul 10 pagi sebelum bergerak menuju ke Ibu Pejabat SPRM.

 

Deretan kenderaan yang menyertai Konvoi Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada protes ‘Selamatkan SPRM’ bergerak dari Bulatan Putra menuju ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 JANUARI  2022.

Setibanya di pekarangan Ibu Pejabat SPRM, Thiban yang mewakili AMK telah menyerahkan plakad berkenaan sebagai simbolik memorandum kepada seorang pegawai SPRM.

Azam yang terpalit dengan kontorversi ini dalam kenyataan media baru-baru ini berkata, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah atau salah guna kuasa berhubung isu pemilikan saham olehnya.

Berikutan itu Azam turut menyatakan kesediaan untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Aduan SPRM sekiranya kes berkenaan melibatkan dirinya.

 

Thiban Subbramaniam menyerahkan memorandum dalam bentuk plakad kepada seorang pegawai SPRM pada protes ‘Selamatkan SPRM’ selepas berkonvoi dari Bulatan Putra menuju ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 JANUARI 2022.

Pada Sabtu lalu, Ismail Sabri menegaskan kerajaan kekal dengan keputusan untuk tidak campur tangan dalam kes yang membabitkan Azam.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan campur tangan dalam kes berkenaan kerana ia bertentangan dengan tujuan penubuhan SPRM sebagai sebuah badan bebas yang tiada campur tangan kerajaan terutama membabitkan Perdana Menteri.

Menurutnya, semua pihak perlu memahami perkara itu dan konsisten dalam memastikan SPRM kekal sebagai badan bebas yang tiada campur tangan mana-mana pihak termasuk oleh Perdana Menteri dan kerajaan. – MalaysiaGazette