PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melaksanakan inisiatif yang akan membendung penularan varian Omicron bagi mengelak negara menerima kesan buruk.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia mengambil kira kawalan sempadan yang lebih ketat dilaksanakan.
“Sebab itu dibentangkan juga (dalam mesyuarat MPN) tadi strategi dan cara menanganinya, saya tidak perlu jelaskan di sini, kerana ada inisiatif yang sedang dibuat berdasarkan kepada kes yang dilihat sedang menular.
“Yang penting sistem kesihatan awam kita yang diketahui melalui tekanan pada masa Covid-19, mestilah ada cara untuk diperbaiki dan diteruskan.
“Keduanya, kawalan sempadan dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang ketat yang dikenakan turut dijelaskan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, di sini, hari ini.
Pada mesyuarat itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi taklimat mengenai penularan varian Omicron di negara ini.
Khairy Jamaluddin turut memaklumkan mengenai penangguhan sementara perjalanan ibadah umrah susulan beberapa isu tertentu yang perlu ditangani KKM.
Muhyiddin yang berpuas hati dengan penjelasan itu berkata, KKM berada dalam landasan yang betul daripada aspek kaedah dan pendekatan yang perlu dilakukan dalam usaha menangani penularan Omicron di negara ini.
Mesyuarat sama turut memutuskan supaya KKM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneliti, merancang dan mencadangkan langkah-langkah untuk membuka semula sempadan negara dengan segera dan selamat.
Beliau berkata, MPN berpendapat penutupan sempadan tanpa perancangan yang teratur dalam tempoh tidak menentu akan memberi kesan proses pemulihan negara.
“Cadangan kita supaya satu jawatankuasa dibentuk antara beberapa kementerian dan ia akan dibentang semula kepada pihak majlis, bila dan bagaimana dapat dibuka secara berperingkat-peringkat.
“Ia akan dikemukakan dan dibentangkan dalam mesyuarat akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette