Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman gantung seumur hidup terhadap 45 pemain Laos setelah didapati terlibat dalam pengaturan perlawanan pada aksi antarabangsa.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman gantung seumur hidup terhadap 45 pemain Laos setelah didapati terlibat dalam pengaturan perlawanan pada aksi antarabangsa beberapa tahun kebelakangan ini.

Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Laos (LFF), Kanya Keomany mengesahkan hukuman yang dikenakan oleh FIFA dalam satu sidang media di Stadium Nasional, Vientiane baru-baru.

Namun dia tidak mendedahkan nama 45 pemain yang terbabit.

“Setakat ini ada seramai 45 pemain bola sepak lelaki yang dilarang untuk terlibat dalam aktiviti bola sepak seumur hidup oleh FIFA kerana terlibat dalam pengaturan perlawanan.

“Siasatan ini telah dijalankan sejak beberapa tahun terakhir dimana mereka menyiasat pertandingan dalam saingan peringkat antarabangsa ataupun peringkat nasional,” kata Keomany memetik laporan Asean Football.

Ini bukan kali pertama pemain Laos dikenakan hukuman penggantungan selama seumur hidup dari bola sepak.

Pada 2017, seramai 22 pemain digantung oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan pada 2016 ketika saingan Solidarity Cup yang berlangsung di Malaysia di mana empat pemain digantung kerana terlibat dalam pengaturan perlawanan.

Ketika dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020, seorang pengguna Twitter iaitu Bobby Brown telah mendedahkan Laos menjadi antara pasukan yang terlibat dalam pengaturan perlawanan dan dia turut memberikan bukti bagaimana proses mengatur perlawanan dijalankan. – Agensi