Fatihah Azmi keluar dari Kompleks Mahkamah Melaka.

MELAKA – Bekas Penolong Pegawai Perpaduan Daerah di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Melaka (JPNIN) didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM320 lima tahun lalu.

Hakim, Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Fatihah Azmi, 34, yang membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh iaitu sebagai Penolong Pegawai Perpaduan Daerah di JPNIN didakwa menerima sesuatu benda yang berharga iaitu wang tunai daripada individu yang diketahui mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya berjumlah RM200.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Tun HS Lee Wilayah Persekutan Kuala Lumpur pada 5 November 2017.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama berjumlah RM120 yang dilakukan di Taman Cheng Baru, Melaka pada 6 November lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A Kalai Vani manakala tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.

Tertuduh dalam dalam rayuan menerusi peguamnya meminta hukuman ringan dengan alasan tidak lagi bekerja sebagai penjawat awam selain perlu menjaga empat anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh kemudian membayar denda RM4,000 tersebut.

Sementara itu, petugas media terpaksa menunggu hampir lima jam untuk merakamkan tertuduh keluar mahkamah biarpun prosiding sudah selesai.

Tertuduh yang hadir ditemani suami keluar dari Kompleks Mahkamah Melaka pada jam 1.20 tengah hari. – MalaysiaGazette