Tosrin Jarvanthi (tengah) selepas Majlis Pelancaran Misi Bantuan Pasca Banjir 'Kami Bantu Banjir Johor' ke Segamat dan Muar di Pusat Islam Iskandar di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johorn tidak akan mengubah jarak setengah meter bagi solat di masjid dan surau yang telah ditetapkan pada 7 Januari lalu walaupun berlaku penularan Covid-19 dalam kalangan jemaah dan penduduk di Taman Sri Pulai Perdana, di sini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, beliau akan mendapat maklumat terperinci daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung 47 kes positif yang dikesan dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk di taman perumahan itu.

“Kerajaan sedia maklum untuk pengetahuan semua tidak akan atau belum memutuskan untuk mengubah ketetapan jarak sedia ada iaitu setengah meter bagi solat Jumaat dan fardu lima waktu di masjid dan surau negeri ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Pelancaran Misi Bantuan Pasca Banjir ‘Kami Bantu Banjir Johor’ ke Segamat dan Muar di Pusat Islam Iskandar, di sini, hari ini.

Pada Selasa lalu, sebanyak 47 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk di Taman Sri Pulai Perdana dan 164 kontak sedang menunggu keputusan saringan yang dijalankan pada Ahad lepas.

Sementara itu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan dilaporkan berkata, berikutan itu ia menyebabkan wujudnya satu kluster baharu iaitu Kluster Pulai Perdana Tiga.

Kluater tersebut dikesan hasil saringan bersasar yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru (PKDJB) pada 6 Januari lalu berikutan terdapat beberapa jemaah masjid yang positif selepas melakukan saringan kendiri. – MalaysiaGazette