KUALA LUMPUR – Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PSSM) tampil dengan kenyataan terkini menafikan wujud cadangan supaya Ketua Hakim Syarie Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar yang berhadapan tuduhan jenayah moral direhatkan sementara sehingga siasatan ke atasnya sempurna.

Timbalan Presiden PSSM, Muhamad Yusro Borhan Nordin berkata, kenyataan awal dikeluarkan PPSM memetik nama Presiden persatuan itu tidak dibuat secara kolektf kerana ianya tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam apa-apa medium.

“Kami percaya nama Presiden dan PPSM telah digunakan di dalam kenyataan itu.

“PPSM yang mewakili pegawai syariah di seluruh Malaysia menzahirkan rasa dukacita dengan tohmahan ke atas hakim kanan itu yang telah disensasikan seorang ahli politik melalui media baharu baru baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel berkaitan:

Dalam pada itu, PPSM turut menyeru agar masyarakat seluruhnya menilai fitnah, tuduhan jahat dan tohmahan tersebut dengan pertimbangan dosa dan pahala.

“Selain menjunjung nilai-nilai akhlak beragama, kami mengajak semua pihak kembali kepada rule of law dan memberikan kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap apa-apa tuduhan dan tohmahan yang berkaitan.

“Ahli-ahli PPSM seluruh Malaysia diseru untuk terus bersama-sama meneruskan hasrat, visi dan misi Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Ketua-ketua Hakim Syarie Negeri-Negeri untuk menjayakan kecemerlangan insititusi perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, menurut satu kenyataan awal yang menggunakan kepala surat PPSM dan ditandatangani Presidennya Ibrahim Deris menyatakan cadangan supaya Mohd Na’im direhatkan daripada bertugas.

Ia juga menyebut bahawa cadangan itu berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi memastikan perkara tersebut tidak memburukkan lagi imej institusi kehakiman syariah di negara ini.

Gesaan itu juga dibuat terhadap Jabatan Perdana Meneri dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Jelas kenyataan awal itu, PPSM memandang serius pendedahan individu bernama Lokman Noor Adam di laman facebook Page Lokman Noor Adam Official pada 10 Januari lalu jam 10.48 malam dan beberapa laporan media berkaitan tuduhan jenayah moral terhadap Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. -MalaysiaGazette