Foto: Perhilitan.

KETIKA ini satu-satunya ancaman terbesar kepupusan Harimau Malaya yang sudah pun diketahui oleh pihak berkuasa dan masyarakat adalah disebabkan kegiatan pemburu haram.

Seolah-olah dengan membanteras pemburu haram, Harimau Malaya dapat mengelakkan nasib malang yang menimpa tiga sub spesis harimau belang lain iaitu Harimau Bali dan Harimau Jawa di Indonesia, serta Harimau Kaspian di Turki, Iran dan Asia Tengah yang telah pupus selama-lamanya.

Dengan bilangan yang begitu kritikal, haiwan yang menjadi lambang negara ini telah berada dalam senarai haiwan terancam dan diramalkan akan pupus dalam tempoh 5 hingga 10 tahun lagi.

Benarkah dengan menghapuskan kegiatan pemburu haram jumlah Harimau Malaya yang berbaki kurang 150 ekor dapat dipertingkatkan sekaligus boleh menyelamatkan haiwan yang menjadi lambang pada Jata Negara itu daripada pupus?

Menjadi bahan ubatan tradisi Cina

Bukanlah menjadi satu rahsia bahawa setiap anggota badan harimau menjadi ramuan dalam perubatan Cina yang amat mahal harganya.

Tulangnya didakwa boleh merawat ulser, kepialu, malaria, radang usus, melecur dan juga rematik.

Bahagian lain seperti misai selain untuk melegakan sakit gigi juga digunakan sebagai tangkal bagi perlindungan diri, kebal dan sebagainya.

Zakar haiwan malang itu pula dibuat tonik bagi meningkatkan daya seksual golongan lelaki dan kulitnya ditayangkan sebagai trofi kemenangan atau dijadikan sebagai pakaian sebagai simbol kekayaan.

Harimau Malaya yang terdapat di Zoo Negara.- foto MOHD ADZLAN, 22 DISEMBER 2020.

Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Harimau Malaya menjadi sasaran kerana ia adalah spesies yang mempunyai harga yang sangat tinggi di pasaran gelap.

Sejak dari tahun 2011 hingga 2020 sebanyak 37 kes pemburu haram telah dikesan yang melibatkan Harimau Malaya.

“Rampasan melibatkan 4 ekor harimau yang telah mati, 4 ekor masih hidup, kulit haiwan yang dirampas sebanyak 355 keping, bahagian lain sebanyak 42 bungkus, 19 unit tulang, 1 trofi, 213 unit taring dan 546 unit kuku,” katanya dalam jawapan kepada MalaysiaGazette.

Bagaimanapun, menurutnya tiada kes penangkapan melibatkan pemburuan harimau direkodkan sepanjang tahun lalu.

Tambahnya, terdapat dua jenis teknik bagi pemburuan Harimau Malaya. Pertama adalah menggunakan jerat dan kedua memburu menggunakan senjata api dengan pemburu akan masuk di kawasan habitat harimau dan menembak dari atas pokok (ran).

Pemburu haram dari negara-negara Indochina, tempatan

Sementara itu Pengarah Negara Wildlife Conservation Society (Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar / WCS) bagi Malaysia, Dr. Mark Rayan Damaraj berkata, kebanyakan pemburu haram harimau ini terdiri dari rakyat negara-negara Indochina seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar yang menyusup masuk secara haram ke negara ini.

Dr. Mark Rayan Damaraj

WCS menganggarkan antara 2000 hingga 2018 lebih 100 ekor harimau telah menjadi mangsa.

“Pemburu haram tegar dari negara-negara ini boleh tinggal di dalam hutan selama beberapa minggu pada satu-satu masa. Mereka biasanya mencari kawasan yang terpencil dan tidak terdapat kehadiran pihak berkuasa.

“Pemburu haram tempatan juga memberikan ancaman tetapi mereka memberi tumpuan hanya di kawasan pinggir hutan dan kawasan yang boleh diakses dengan kereta, kenderaan luar jalan atau bot,” jelas Dr. Mark ketika dihubungi.

Katanya, Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan yang diperkenalkan pada 2008 dan berakhir 2020 pada awalnya gagal untuk mencegah kegiatan pemburu haram disebabkan bilangan ranger yang ditugaskan untuk rondaan adalah kecil.

Katanya, dalam beberapa tahun kebelakangan ini dianggarkan negara memerlukan sekurang-kurangnya 2,500 hingga 5,000 petugas untuk meronda habitat hidupan liar di Semenanjung Malaysia bagi membanteras pemburu haram.

Perangkap dawai perangkap maut

Pemburu haram boleh menangkap dan membunuh 20 ekor harimau setahun dengan menggunakan jerat dawai berbanding faktor kekurangan makanan yang hanya menyumbang kepada kematian lima atau enam ekor harimau setahun.

Harimau yang menjadi mangsa jerat dawai – Foto Perhilitan

Shah Redza Hussein iaitu penerima anugerah berprestij antarabangsa Dr. Rimington Globle pada 2020, berikutan kejayaan program konservasi harimau di Taman Negeri Royal Belum berkata, jerat yang dipasang oleh pemburu haram bersifat serampang dua mata.

Shah Redza Hussein – Foto media sosial

“Pemburu haram di Malaysia ini bukan buru harimau sahaja. Harimau ini susah nak dapat. Kalau dapat jackpot. Tapi sebelum dia dapat harimau, dia buru binatang lain dahulu.

“Jerat dawai adalah kegemaran pemburu haram. Kalau dia pasang jerat, bukan sahaja harimau tetapi binatang lain juga masuk perangkap. Jadi kebanyakan makanan harimau seperti rusa samba, kijang, babi hutan turut masuk dalam jerat yang dipasang.

“Mungkin 100 ekor haiwan dia jerat, seekor mungkin harimau. Maknanya pemburuan haram ini bukan sahaja membunuh harimau tetapi juga makanan harimau. Kalau makanan kurang, harimau juga akan menderita dan mati,” katanya.

Dalam tujuh operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa melalui Op Bersepadu Khazanah pada September hingga 31 Disember 2019 sebanyak 1,375 jerat dawai telah dimusnahkan dengan penangkapan 82 pemburu haram.

Daripada 1 Januari hingga 28 Disember 2020 melalui 20 operasi sebanyak 672 jerat dawai berjaya dimusnahkan dan 140 pemburu haram ditangkap.

Manakala daripada 1 Januari hingga 5 Disember 2021 melalui 12 operasi sebanyak 303 jerat dimusnahkan dengan tertangkapnya 133 pemburu haram.

Kesimpulannya, adalah jelas pemburu haram boleh melenyapkan populasi Harimau Malaya dalam masa yang singkat jika tidak dibendung.

Pun begitu, jika aktiviti pemburu haram berjaya dikawal mampukah jumlah haiwan yang menjadi simbol negara ini dipertingkatkan?

Persoalan ini ditimbulkan berikutan kepupusan spesis Badak Sumbu Sumatera yang tidak mampu untuk membiak secara semula jadi biarpun bilangannya pada satu masa dahulu berjumlah lebih 1,000 ekor. Nantikan bahagian akhir esok.

Rencana ini adalah bahagian kedua daripada tiga bahagian mengenai kepupusan dan usaha pemuliharaan Harimau Malaya. – MalaysiaGazette