Pengusaha kedai runcit, Amirul Hakim menyusun minyak masak paket ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette mengenai pembekalan minyak masak paket bersubsidi kini menimbulkan keresahan orang ramai untuk mendapatkan keperluan itu di Kampung Sungai Chinchin, Gombak, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 13 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Peruncit di sekitar Lembah Klang mendakwa bekalan minyak masak bersubsidi sekilogram amat sukar diperoleh daripada pemborong sejak Disember tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan jumlah bekalan yang diterima tidak sama dengan pesanan yang dibuat.

Pengusaha kedai runcit di Gombak, Mohammad Amirul Hakim Ahmad, 21, berkata, keadaan ini menyebabkan dia dilema kerana terpaksa mengehadkan jualan.

Katanya, pada masa sekarang biasanya dia mendapat dua hingga empat kotak minyak masak paket sahaja daripada pemborong bagi setiap pembelian.

“Memang susah dapat stok, kalau kita dapat beli pun, pemborong akan bagi tiga atau empat kotak sahaja. Jadi kalau kita nak jual pada pengguna perlu limit (had) supaya semua boleh beli minyak ini dengan adil.

”Di sini kita limit dua paket (2kg) untuk satu keluarga sahaja. Walaupun pelanggan merungut tetapi kita pun susah kalau beri jumlah yang mereka mahu.

“Untuk adil terpaksa hadkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pengguna mengambil minyak masak paket yang dijual ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette diĀ  Rosyam Mart, Setiawangsa, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JANUARI 2022.

Sementara itu, sebuah pasar raya turut mengakui terpaksa mengehadkan jualan minyak masak itu kerana bekalan yang diperoleh tidak banyak.

Eksekutif Operasi, St Rosyam Mart, Naidi Raub berkata, stok minyak masak subsidi itu bagaikan ‘goreng pisang panas’ yang cepat laku kerana permintaannya cukup tinggi pada masa sekarang.

Tetapi, bekalan yang diperoleh daripada pemborong tidak seiring dengan permintaan.

Naidi Raub

“Stok minyak ini cepat susut kerana ramai pelanggan mengaut pantas berikutan tiada bekalan minyak ini kebanyakan kedai di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Meskipun minyak yang diperoleh terhad tetapi katanya, setakat ini bekalan tidak pernah terputus dari pembekal walaupun jumlah pesanan yang tiba adakalanya tidak mencukupi.

“Apabila tidak cukup kami terpaksa hadkan jualan, baik kepada pelanggan yang mempunyai kedai mahupun pengguna rumah,” ujarnya.

Beliau mengakui permintaan minyak paket sangat tinggi kerana harga minyak botol melambung.

Sehubungan itu, dia sangat berharap pemborong dapat mengembalikan bekalan minyak masak secukupnya.

Naidi berkata, kekurangan bekalan ini berlaku sejak Disember lalu namun tidak tahu apa puncanya.

Pekerja menyusun kotak minyak masak paket ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette mengenai pembekalan minyak masak paket bersubsidi kini menimbulkan keresahan orang ramai untuk mendapatkan keperluan itudi St Rosyam Mart, Setiawangsa, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JANUARI 2022.