Gambar hiasan

KUALA SELANGOR – Seorang wanita berusia 56 tahun maut dalam keadaan ngeri selepas disyaki dibunuh dengan kepalanya dipenggal oleh anaknya sendiri.

Insiden tragis itu berlaku di rumah mangsa di Kampung Baru Pasir Penambang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai pembunuhan itu pada pukul 5.45 petang.

Katanya,  polis sampai di tempat kejadian dan siasatan yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Selangor, Asisten Superintendan Mohd Sufian Amin.

Siasatan awal dijalankan di rumah mangsa mendapati kejadian itu telah disedari oleh salah seorang anak mangsanya yang pergi ke kediaman berkenaan selepas ibunya gagal dihubungi.

“Suspek lelaki berusia 28 tahun itu disyaki telah membunuh ibu kandungnya ketika mangsa berada di ruang tamu berikutan penemuan kesan darah di sekitar mayat.

“Sebaik tiba di rumahnya, anak mangsa terkejut melihat ruang tamu berlumuran darah sebelum menemui mayat emaknya.

“Manakala suspek yang terkejut selepas melakukan jenayah itu terus melarikan diri di ke arah belukar yang terletak di belakang rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Ramli, bertindak atas maklumat polis yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan belukar dengan bantuan penduduk kampung.

Menurutnya, polis turut berjaya menemui parang yang disyaki digunakan untuk memenggal kepala mangsa dalam tandas rumah tersebut.

“Siasatan polis mendapati suspek merupakan seorang penganggur tinggal bersama ibu (mangsa) dan bapanya manakala anak-anak mangsa lain menyewa di kawasan berhampiran kampung tersebut.

“Suspek turut dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum keputusan mengesahkan suspek positif methamphetamine dan amphetamine.

“Suspek telah dibenarkan direman selama tujuh hari sehingga Sabtu depan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah oleh Majistret Kuala Selangor untuk membantu siasatan kes bunuh itu,” katanya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan membunuh.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.