Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed hadir untuk meninjau pematuhan SOP menjelang sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2022.

BATU CAVES – Pihak berkuasa melarang sebarang penggunaan dron untuk apa jua tujuan di sekitar kawasan Kuil Sri Subramaniyar di sini ketika sambutan Thaipusam pada 18 Januari ini.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, peraturan itu juga tertakluk kepada semua pihak atas faktor keselamatan.

Kata beliau, walaupun sedia maklum mungkin ada pihak yang menggunakan dron bagi tujuan mendapatkan gambaran lebih jelas perayaan terbesar masyarakat India itu namun ia tidak dibenarkan sama sekali.

“Sila ambil maklum pihak polis telah membawa kelengkapan mencukupi untuk mengesan mana-mana pihak yang cuba menerbangkan dron di kawasan ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini sebelum melakukan tinjauan pematuhan SOP.

Turut hadir Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Asisten Komisioner R. Supramaniam, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed dan Pemegang Amanah Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, Datuk Sivakumar Nadarajah.

Arjunaidi mengulas lebih lanjut penggunaan dron dengan berkata penerbangan dron adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 (MCAR 2016) Peraturan 140-144.

Jelasnya, mana-mana pihak yang mahu menerbangkan dron perlu mendapatkan permit kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Namun untuk kawasan ini, kita tidak boleh benarkan oleh pihak luar walaupun telah mendapat permit daripada CAAM sekali pun.

“Jika yang ingkar, tindakan boleh dikenakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan itu walaupun kita telah keluarkan arahan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Arjunaidi berpuas hati dengan situasi di kuil Subramaniyar yang mana penganutnya boleh mencecah ribuan saban hari menjelangnya perayaan Thaipusam Selasa ini.

“Semua terkawal dan berjalan lancar. Kita ada seramai 1,500 pegawai dan anggota yang bertugas mengawal keselamatan di kawasan kuil ini bermula tengah malam tadi hingga Jumaat ini.

“Malam ini kita akan ada pendati keluar dari Kuil Sri Mahamariamman dan sampai ke kuil Sri Subramaniyar di sini esok pagi sekitar jam 10 pagi. Setakat ini, semua berjalan lancar, SOP juga dipatuhi.

“Kita juga turut dibantu keanggotaan dari agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).

“Kita cuma mohon kepada orang ramai ikut nasihat, patuh SOP yang di tetapkan termasuklah penjarakkan sosial, pelitup muka dan imbas kod MySejahtera. Yang boleh di kawasan kuil juga hanya golongan yang sudah suntik vaksin.- MalaysiaGazette