Bekas pemain lincah Kedah, Farhan Roslan menyertai pasukan Kelantan FC secara rasmi apabila menandatangani kontrak selama tiga tahun.- Foto Facebook TRW Kelantan FC.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain lincah Kedah, Farhan Roslan menyertai pasukan Kelantan FC secara rasmi apabila menandatangani kontrak selama tiga tahun semalam bagi menghadapi saingan Liga Premier musim 2022.

Pemain sayap berusia 25 tahun itu yang berasal dari Tandop, Alor Setar meninggalkan pasukan negerinya itu setelah tujuh tahun bersama pasukan tersebut.

“Hari ini, termeterai sudah secara rasmi saya sebagai pemain bolasepak kelab TRW Kelantan FC dengan kontrak selama 3 tahun.

“Terima kasih daun keladi kepada Bos Zam (Norizam Tukiman) yang sudi menawarkan dan menerima saya sebagai anggota keluarga terbaru TRW.

“Insya-Allah saya akan berikan komitmen yang terbaik demi merealisasikan impian pemilik kelab dan seluruh peminat bolasepak TRW Kelantan FC untuk layak ke Liga Super 2023. Insya-Allah,” katanya menerusi akaun Instagram miliknya.

Farhan mula menempa nama dalam bola sepak Malaysia pada usia 18 tahun apabila beraksi cemerlang di bawah kendalian Tan Cheng Hoe sehingga diberi gelaran Messi Kedah.

Malah dia turut memenangi Anugerah Pemain Muda Harapan pada 2014.

Sepanjang beraksi dengan Kedah, Farhan meraih lima piala iaitu Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2015, Piala Sumbangsih 2017, Piala FA 2017 dan Piala FA 2019.

Dia menyertai Perak secara pinjaman pada musim lalu, sebelum kontraknya berakhir hujung tahun lalu. – MalaysiaGazette