KLANG – Tidak ada mana-mana pendekatan kesihatan awam dalam dunia yang menyatakan seseorang itu perlu dijangkiti varian Omicron COVID-19 untuk membina imun kepada wabak tersebut.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pendekatan itu juga masih belum dibuktikan kesahihannya.
“Tidak kira varian apa. Omicron ke, Delta, Alpha dan Beta, jangan sengaja nak dapat COVID-19 sebab yang pertama kita tidak tahu kesan wabak itu.
“Yang kedua kita tidak tahu kesan ‘long’ COVID-19. Hari ini mungkin kita kata Omicron ini lebih ‘mild’ daripada Delta jadi kenapa tidak semua dijangkiti dengan Omicron supaya kita dapat imuniti kelompok dan sebagainya. Itu tidak terbukti lagi. Kita tahu Omicron ‘milder’ tetapi ia tidak bermakna yang anda perlu dijangkitinya,” katanya.
Beliau sebaliknya menasihati masyarakat untuk tidak ‘sengaja’ menjangkitkan diri dengan COVID-19 dan terus mendapatkan dos penggalak.
Khairy mengulas berhubung laporan berita pada Khamis yang menyatakan varian Omicron itu mampu membina imuniti kelompok dalam masyarakat disebabkan keadaan transmisinya yang tinggi.- BERNAMA