Peguam dari Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhammad Hariz Md Yusof hadir ke mahkamah untuk membela remaja yang telah didakwa atas pertuduhan mencuri duit tabung masjid di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 17 JANUARI 2022.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Jenayah 1 Shah Alam minta Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Islahiah, Kuang Rawang membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga remaja dan masyarakat susulan tindakan memandikannya seperti jenazah, 10 Januari lalu.

Hakim Abdul Halim Aman berkata, permohonan maaf itu juga perlu dibuat oleh pihak yang merakamkan insiden itu dan menularkannya di laman media sosial hingga menimbulkan kemarahan masyarakat.

“Saya sarankan AJK masjid yang terlibat dalam insiden itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada tertuduh dan kepada masyarakat umum.

“Pihak yang merakam dan memviralkan video tersebut juga perlu buat permohonan maaf secara terbuka.

“Namun perlu diingat ia bukan satu arahan tapi saranan daripada saya demi kebaikan semua pihak,” katanya ketika membacakan keputusan semakan kehakiman jenayah kes remaja Daniel Iskandar, 19, di sini, hari ini.

Pada 10 Januari lalu, tular sebuah video di laman sosial yang memaparkan seorang remaja yang lengkap berpakaian dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap kerana mencuri tabung di sebuah masjid.

Remaja berkenaan turut dilumur dengan kapur barus oleh sekumpulan pengurusan masjid sambil diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.

Dalam pada itu, hakim juga mencadangkan agar Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menjadi sahabat mahkamah untuk mengaturkan majlis permohonan terbuka itu dalam masa terdekat.

“Jika saranan ini dipersetujui oleh semua pihak, saya minta pihak PPMM mengatur perkara itu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap PPMM, peguam Muhammad Hariz Md. Yusof menyambut baik saranan Mahkamah Tinggi Shah Alam dan memberi peluang kepada pihaknya untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan perkara itu.

“Hakim membuat saranan kepada PPMM untuk membantu pihak-pihak terlibat iaitu pihak Daniel sendiri, ibu bapanya, pihak yang menularkan video dan pihak masjid untuk cuba selesaikan perkara ini dengan baik

“Perkara ini akan saya bawa kepada pihak PPMM untuk arahan lanjut dan sekiranya tiada sebarang halangan Insya-Allah PPMM akan menghubungi pihak tersebut untuk selesai dengan cara baik.

“Saya perkara ini selesai dalam tempoh satu minggu. Kita pun ada berhubung dengan peguam masjid dan mereka bersetuju untuk menyampaikan apa saranan hakim tadi kepada ajk masjid untuk mengadakan rundingan secara baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast