Kamarul Zaman menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas dari kedai telefon di Taman Mutiara Mas, semalam.

JOHOR BAHRU – Taktik sindiket menjadikan kedai telefon sebagai tempat penyimpanan mercun di Taman Mutiara Mas, Skudai, dekat sini berjaya dihidu oleh  Pasukan Polis Marin Wilayah Dua.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, operasi yang dijalankan semalam, berjaya menahan seorang penjaga premis dan merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM350,000.

Suspek yang ditahan merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 48 tahun.

“Dalam serbuan yang dijalankan pada pukul 3 petang semalam, polis berjaya menemui 250 kotak berisi 16 jenis mercun yang disimpan di dalam stor kedai berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati penjaga premis berkenaan tidak mempunyai dokumen sah untuk menyimpan dan menjual mercun berkenaan yang dipercayai untuk sambutan Tahun Baharu Cina ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, di sini hari ini. Turut hadir, Penolong Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Selain berselindung di sebalik premis telefon bimbit, sindiket ini juga menyimpan pelbagai jenis mercun yang dilarang dijual itu dalam kotak bertulisan ‘Happy Boom’.

“Bunga api jenis berkenaan memang dibenarkan untuk dijual namun sindiket ini menyimpan pelbagai jenis mercun lain yang tidak dibenar untuk dijual,” ujarnya.

Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini.

Sementara kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan. -MalaysiaGazette