Kerja-kerja membersihkan salji di Greenville, South Carolina. foto Getty Images

OTTAWA – Ribut musim sejuk telah membawa salji dan ais tebal ke bahagian tertentu di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, dengan berjuta-juta penduduk diletakkan di bawah amaran cuaca.

Beribu-ribu penerbangan tturut dibatalkan dan pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan di beberapa negeri di bahagian tenggara.

Virginia, Georgia, dan Carolina Utara dan Selatan pula mengisytiharkan darurat.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS (NWS) berkata, ribut akan melanda sebahagian besar sepertiga timur negara itu dalam tempoh dua hari akan datang, dengan lebih satu kaki (30 sentimeter (cm)) salji dijangka berlaku di beberapa kawasan.

Ribut besar dilaporkan menghampiri timur AS dari Midwest.

Salji dan ais boleh mengakibatkan “perjalanan berbahaya, bekalan elektrik terputus dan kerosakan pokok”, NWS memberi amaran.

Terdapat juga ramalan kemungkinan banjir pantai di beberapa kawasan, termasuk bandar New York dan sebahagian Connecticut, dengan amaran jalan raya dan infrastruktur boleh terjejas.

Di wilayah Ontario di Kanada, yang berkongsi sempadan dengan negeri New York, Environment Canada mengeluarkan amaran ribut pada pagi Ahad untuk sebahagian besar kawasan selatan, yang mana salji dijangka bermula lewat Ahad waktu tempatan.

Toronto, ibu kota wilayah dan bandar terbesar Kanada, diramalkan akan mendapat salji tujuh inci (20cm).

Syarikat penerbangan AS telah membatalkan sekurang-kurangnya 2,400 penerbangan menjelang pagi Ahad akibat cuaca ekstrem, menurut data penjejakan penerbangan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Charlotte Douglas di Carolina Utara adalah antara yang paling teruk terjejas, dengan hampir 90% penerbangan dibatalkan, dan mesej di laman webnya menggesa penumpang untuk menyemak dengan syarikat penerbangan mereka sebelum pergi ke lapangan terbang.

Gabenor Carolina Selatan, Henry McMaster menyeru penduduk supaya menjauhi jalan raya.

“Ini akan menjadi ribut yang agak teruk di bahagian atas negeri,” katanya. – (https://www.bbc.com/news/world-us-canada-60017300)