Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr Rais Yatim menerima Anugerah Kedoktoran Seni Kreatif-Perancang Seni Budaya yang disampaikan oleh Rektor ASWARA, Prof. Tan Sri Dr. Ruslan Abdul Rahim ketika hadir ke majlis sepetang di Dewan Orkestra Akademi Seni Budaya Warisan (ASWARA), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Rais Yatim memaklumkan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ada berjumpa dengannya sebelum ini.

Yang di-Pertua Dewan Negara itu berkata, pertemuan empat mata telah dibuat kedua-dua mereka berhubung isu yang menghimpit Azam sejak kebelakangan ini.

“Beliau (Azam Baki) telah menemui saya untuk bertukar-tukar pandangan dan nasihat pun sudah diberikan. Jawatankuasa di bawah Dewan Negara sudah membuat keputusan untuk menyiasat perkara ini dari sudut keperihalan kepada SPRM untuk masa depan,” katanya.

Bagaimanapun bekas menteri Kabinet itu tidak memperincikan hasil pertemuan berkenaan.

Ketika ditanya sama ada Jawatan Kuasa Mengenai Rasuah (JKMR) akan memanggil lagi Azam, Rais berkata, ia boleh dilakukan bagi tujuan memberi keterangan.

“Saya juga telah sampaikan pesan supaya dihadiri, kalau beliau (Azam) fikirkan hal ini dari skop yang panjang beliau akan hadir, jika tidak hadir PSC (Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen) akan membuat apa yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima Anugerah Kedoktoran Seni Kreatif-Perancang Seni Budaya yang disampaikan oleh Rektor ASWARA, Prof. Tan Sri Dr. Ruslan Abdul Rahim di Dewan Orkestra Akademi Seni Budaya Warisan (ASWARA) hari ini.

Jawatan Kuasa Mengenai Rasuah (JKMR) yang dipengerusikan Rais pada Jumaat lalu menggesa agar Azam bercuti ketika kes beliau disiasat pihak berkuasa.

Rais ketika itu berkata, siasatan terhadap Azam ialah kes salah laku dan tidak menyempurnakan tugas, bukannya kes jenayah.

Ditanya mengenai perbincangan mengenai isu saham Azam boleh dibuat secara terbuka atau tidak, Rais berkata, ia adalah hak yang diberikan kepada Pengerusi PSC, Abdul Latiff Rahman.

“Itu terserah kepada pengerusi PSC untuk benarkan atau tidak.

“Saya tidak dapat menambah daripada itu kerana soal rakyat harus hadir tidak ada dalam prosedur itu. Namun nak panggil beberapa pihak mungkin boleh,” katanya lagi.

Dalam pada itu, media melaporkan Mesyuarat PSC bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyiasat Azam yang dijadualkan Rabu ini telah ditangguhkan susulan bantahannya terhadap cara siasatan itu.

Ia ekoran kenyataan Abdul Latiff yang memaklumkan kepada lapan anggota jawatankuasa lain bahawa beliau telah menerima maklum balas daripada Azam.

Menurut Azam, jika mesyuarat itu diteruskan pada 19 Januari ini seperti yang dijadualkan dan agenda kekal tidak berubah, maka Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat akan dilanggar. – MalaysiaGazette