Hamidin Mohd Amin.

PUTRAJAYA – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin akan menjawab semua isu pada Jumaat ini termasuk kritikan susulan kegagalan skuad Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura baru-baru ini.

“Saya sebenarnya nak jawab pada Jumaat. Saya tak perlu dipuji, saya sayangkan bola sepak.

“Saya tahu apa yang saya buat, Insya-Allah, Jumaat saya jelaskan, nanti semua datang. Saya tak lari, saya ada keluarga, saya baru semalam potong gelang kuarantin.

“Saya sedia menjawab pada Jumaat. Tapi ada kenyataan yang saya sudah keluarkan, saya tak akan jawab lagi,” katanya yang sedikit beremosi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat FAM di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2022.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pecah tanah Ibu Pejabat FAM yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Antara beberapa isu yang masih lagi belum berakhir adalah mengenai kegagalan skuad kebangsaan dalam kempen Piala Suzuki AFF 2020 dengan penyokong masih menunggu keputusan bedah siasat mengenai kegagalan itu.

Malah, ada juga segelintir penyokong yang mendesak Hamidin meninggalkan kerusi nombor satu badan induk itu sebagai bertanggungjawab atas kegagalan skuad Harimau Malaya.

Isu terbaharu adalah mengenai siapa jurulatih baharu skuad kebangsaan juga masih lagi menjadi persoalan dalam kalangan peminat susulan peletakan jawatan oleh Tan Cheng Hoe, sebelum ini. – MalaysiaGazette