Beberapa pengguna jalan raya mula menggunakan sistem Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akhirnya menutup semula ruangan komen di laman Facebook (FB) rasminya selepas ramai pengguna lebuh raya meluahkan rasa tidak puas hati dengan penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Pengendali laman Facebook pengendali Lebuh Raya Utara-Selatan itu pada mula membuka ruangan komen kepada pengguna media sosial.

Namun, kira-kira pukul 10 pagi tadi, didapati pengendali laman Facebook PLUS sekali lagi ‘menutup’ ruangan komen selepas ramai netizen meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perkhidmatan RFID.

Terdahulu, PLUS sebelum ini mengumumkan akan beralih kepada sistem pembayaran transaksi tol RFID secara berperingkat bermula 15 Januari.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan masih ada pemilik kenderaan menggunakan pelekat IRFID berdepan kesulitan ketika melalui plaza tol.

Tinjauan di Plaza Tol Sungai Besi menghala ke Kuala Lumpur mendapati, ada beberapa pengguna terpaksa mengundurkan kenderaan mereka selepas sistem RFID gagal mengesan pelekat yang ditampal pada bahagian hadapan kenderaan.

Kenderaan di lorong RFID yang terpaksa mengundur itu kemudiannya membelok dan menggunakan lorong Smart Tag bersebelahan.

Berdasarkan pemerhatian, ada beberapa pemandu kenderaan menunggu sehingga hampir lima minit selepas kenderaan yang berada di hadapannya mengalami masalah sistem RFID. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast