KUALA LUMPUR – Kegagalan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) jelas membuktikan bahawa teknologi ini masih bermasalah, maka pelaksanaanya tidak patut dilaksanakan secara tergesa-gesa.
Tambahan lagi, masih ramai pengguna yang belum bersedia untuk menggunakan RFID.
Kedua-dua faktor inilah yang menyumbang kepada kesesakan trafik pada hari pertama pelaksanaan RFID, kata jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan.
Oleh itu, katanya, rakyat harus diberi pilihan untuk membayar tol, khususnya mereka yang telah membeli SmartTag sebelum ini.
”Jangan nafikan hak mereka ini sebagai pengguna. Selain itu, kebebasan membuat pilihan juga mampu menyediakan platform untuk persaingan yang lebih adil dan sihat,” katanya di sini.
Mike menambah, sebenarnya masalah RFID ini bukanlah sesuatu yang baharu.
Sebelum ini ramai pengguna telah pun membuat aduan mengenai kegagalan sistem RFID seperti data tidak boleh dibaca dan sebagainya.
Berikutan itu timbul persoalan adakah masalah ini langsung tidak diketahui oleh pihak Touch N’ Go dan mengapa tidak berusaha menyelesaikan masalah ini sebelum melaksanakan RFID sepenuhya.
Akhirnya, sikap tergesa-gesa mereka ini telah menyusahkan rakyat.
Atas sebab ini, MCA berpendirian bahawa pelaksanaan RFID sepenuhnya wajar ditangguh buat masa ini sehingga semua masalah dapat diatasi dan sistem ini dijamin stabil serta berfungsi dengan baik.
Ia selari dengan tujuan utama teknologi RFID adalah untuk memudahkan pengguna dan memastikan trafik lancar, maka teknologi ini patut dipastikan sudah sedia sebelum pelaksanaannya bagi memastikan tujuan asalnya dapat dicapai.
Sekiranya teknologi ini hanya menyusahkan pengguna dan menyebabkan kesesakan trafik, maka ia adalah satu pembaziran yang lebih baik tidak digunakan. – MalaysiaGazette
Stop Rfid, mesti mahu beri Rakyat ada pihan guna jangan force Rakyat pakai service tak sesuai…tahu tak? Boss?