Pendaki Gunung, Ravichandran Tharumalingam hadir pada sidang media mengenai pendakian ke Gunung Everest yang akan bermula pada Mac 2022 di Don's Cigar Lounge, Plaza Damas, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 19 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Pendaki solo negara, Ravichandran Tharumalingam bakal mengulangi sejarah apabila bakal menawan Gunung Everest sekali lagi pada Mei ini.

Beliau berkata, impian itu akan direalisasikan bersama-sama seorang lagi pendaki, selepas tertunda sejak 2020.

“Di Malaysia latihan kita lebih kepada fizikal sebab latihan kita sudah mulakan sejak Oktober lagi, projek ini sebenarnya tergendala daripada 2020. Disebabkan pelbagai halangan pandemik sebelum ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, latihan fizikal akan diadakan secara serius bermula Februari ini yang mana Ravi atau dikenali sebagai ‘Ravi Everest’ akan menjelajah ke Sabah dan Sarawak demi meningkatkan staminanya.

“Kita akan bermula latihan dengan beberapa siri latihan. Untuk mengelakkan kecederaan kita akan berehat pada minggu kedua dan ketiga pada bulan Mac minggu keempat kita berangkat ke Nepal untuk mendaki ke gunung Everest,” tambahnya.

Dalam membuat persediaan untuk menjadikan impiannya realiti, Ravi berkata, beliau bakal menjalinkan kerjasama dengan Syarikat Malaysia Pro Wrestling Sdn Bhd yang mengeluarkan air minuman oksigen.

Selepas lebih kurang dua bulan mencuba air MYPW, Ravi memberitahu, produk tempatan itu dilihat dapat membantu pendaki mengembalikan tenaga khususnya mengembalikan kandungan oksigen dalam badan.

Justeru katanya, MYPW akan membekalkan air beroksigen kepadanya dan seorang lagi pendaki sehingga ke puncak Gunung Everest.

“Salah satu cabaran pendaki pada ketinggian lebih 7,000 meter adalah keadaan kandungan oksigen yang selalu berkurangan. Akibat itu kita terpaksa bergantung dengan bekalan oksigen menggunakan tong oksigen dan membawa memikul tiga hingga empat liter, banyak juga beban untuk pendaki,” katanya.

Menurut beliau, pendakian yang dijangka bermula pertengahan Mac ini akan mengambil massa kira-kira dua bulan.

Terdahulu Ravi berkata, beliau bakal menawan gunung Everest kali ketiga, selepas 2006 dan 2007.

Menjadi pendaki solo negara, beliau mengakui berhadapan dengan cabaran mendapatkan tajaan daripada syarikat-syarikat besar namun nekad untuk tidak mahu menggunakan kerajaan sebagai medium untuk mencapai cita-citanya itu.

Jelas Ravi, ini kerana beliau prihatin dengan nasib rakyat yang semakin dihimpit kos sara hidup berikutan penularan Covid-19.

“Kita memang sukar dapat tajaan sebab kita bergerak sendiri, bukan atas nama persatuan besar tapi saya tidak mahu menyusahkan kerajaan kerana saya rasa duit kerajaan perlu digunakan oleh rakyat yang memerlukan,” kata Ravi.

Terdahulu, katanya kos pendakian gunung Everest bermula dengan bertolak daripada Malaysia adalah kira-kira RM40,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast