Lim Poh Yit (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Aziz Bakar pada majlis pemeteraian Perjanjian Persefahaman Pembangunan Medi-Tech City di Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR – Titijaya Land Berhad (Titijaya) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) bagi membangunkan Medi-Tech City di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Menurut satu kenyataan, Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bagi projek bandar perubatan dan hab perniagaan bersepadu yang terletak di kawasan seluas 230 ekar (93 hektar) itu dianggarkan berjumlah RM9.9 billion dan dijangka siap dalam tempoh 10 tahun.

Katanya, terdapat lebih daripada 300 syarikat antarabangsa (MNC) yang telah bersedia untuk beroperasi di dalam kawasan tersebut.

Tambah kenyataan itu, setelah siap, Medi-Tech City akan menjadi hab perubatan yang menawarkan eco-pelancongan dan perkhidmatan bisnes global lengkap dengan pelbagai fasiliti.

Antaranya, termasuk hospital, kampus perubatan, hab pembekalan perubatan, suit korporat, pusat pemulihan, retirement village, hotel, pusat kesihatan, pusat sukan, sektor elektrik dan elektronik, hab logistik dan pengedaran, ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan kumpulan Titijaya, Lim Poh Yit berkata, peluang yang diberikan untuk bekerjasama dengan PDC merupakan satu penghormatan kepada kumpulan itu memandangkan PDC merupakan agensi utama kepada pembangunan di Pulau Pinang sejak 1969 .

“Kami juga menjangkakan projek yang bakal menarik pelaburan antarabangsa ini akan turut menyokong visi PDC untuk mencapai status bandar antarabangsa untuk Pulau Pinang” katanya semasa berucap pada majlis memeterai Perjanjian Persefahaman bagi membangunkan Medi-Tech City.

Pada majlis tersebut, Poh Yit mewakili Titijaya manakala PDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aziz Bakar.

Menurut Aziz,  perjanjian persefahaman ini adalah selari dengan amalan PDC bekerja seiring dengan sektor swasta dalam usaha merealisasikan visi menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang kondusif untuk pembangunan sosio-ekonomi yang lestari di samping menarik lebih pelaburan asing ke negeri berkenaan.

“PDC yakin kerjasama di dalam pembangunan Medi-Tech City ini akan berjaya kerana Titijaya mempunyai pengalaman luas bekerjasama dengan pelabur asing dan ini akan memberi manfaat yang besar kepada pembangunan negeri Pulau Pinang secara amnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast