Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Akmal Nasir menyerahkan memorandum rakyat kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan krisis terkini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengemukakan memorandum rakyat bagi mendesak lapan tuntutan dilaksanakan segera menyelamatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Nasir berkata, tuntutan itu dibuat ekoran terdapat percanggahan antara kenyataan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan pengakuan Ketua PesuruhjayaSPRM, tan Sri Azam Baki melibatkan pemilikan saham dagangannya.

Justeru, menurut beliau, pihaknya mendesak supaya kerajaan menggantung serta merta tugas Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menjalankan satu siasatan secara menyeluruh.

“Kami juga menyarankan tindakan undang-undang dikenakan kepada Tan Sri Azam Baki termasuk memanggil semua saksi dan meneliti semua dokumen berkaitan,” katanya semasa menyertai himpunan yang dihadiri kirra-kira 50 peserta di pintu masuk Bangunan Parlimen hari ini.

Mereka menyerahkan memorandum itu kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketiga, kata Akmal, AMK mendesak supaya pinda akta SPRM 2009, bagi memperkasa integriti, ketelusan serta proses semak dan imbang yang adil,” katanya lagi.

Dalam pada itu, AMK mahu semua individu yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada masa depan mestilah membuat pengisytiharan harta terlebih dahulu sebelum pengesahaan lantikan.

Sebagai langkah mengekang sebarang salah laku selepas ini, mereka juga menuntut supaya kerajaan memperkenal rang undang-undang hidup melampaui kemampuan atau living beyond means iaitu mana-mana individu perlu membuktikan kekayaan yang diperoleh.

“Untuk menyelamatkan SPRM, letakkan SPRM serta suruhanjaya yang lain seperti SPR dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di bawah bidang kuasa Parlimen termasuk pelantikan ketua pesuruhjaya,” tambahnya.

Selain itu, beliau juga mendesak supaya prosiding jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan jawatankuasa pilihan khas PAC dijalankan secara terbuka kepada awam dengan keterlibatan secara langsung kepada pihak media.

“Kelapan, meminda akta perlindungan pemberi makluman (WPA2010) bagi menjamin perlindungan yang lebih baik kepada oemberi maklumat,” kata Akmal yang menyerahkan memorandum berkenaan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memorandum tersebut seterusnya akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun di Parlimen.

Turut hadir Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Maszlee Malik (Simpang Renggam), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Datuk Maria Chin Abdullah (PetalingJaya – PH), Teresa Kok (Seputeh-PH), Fuziah Salleh (Kuantan), Datuk Mahfuz Omar (Pkk Sena) dan P. Prabakaran (Batu).

Selaras ketetapan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, satu sidang khas Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 diadakan hari ini bagi membincangkan perihal berkenaan bencana banjir, menyelaraskan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir.-MalaysiaGazette