Radzi Md Jidin RMT Supplementary Food Programme white rice with gravy
Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Isu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang didakwa menghidangkan nasi putih dan kuah sahaja kepada seorang pelajar di sebuah sekolah semalam kini dianggap selesai.

Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin menjelaskan, makanan yang tular tersebut bukan makanan RMT seperti yang gembar-gemburkan.

“Siasatan mendapati gambar yang ditularkan itu bukan makanan yang disediakan untuk penerima RMT di sekolah.

“Makanan bagi semua penerima RMT disediakan oleh pihak kantin untuk murid makan di sekolah sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan itu diberitahu Radzi setelah satu siasatan dibuat  wakil KPM secara terperinci mengenai dakwaan pemilik Facebook berkenaan.

Dalam pada itu, Radzi mengucapkan terima kasih atas keprihatinan semua pihak berhubung perkara ini.

“KPM sentiasa berusaha menambahbaik program RMT termasuk dalam penyediaan makanan dan bekalan susu untuk penerima RMT.

“Buat masa ini, pemberian susu kepada murid RMT telah ditambah daripada dua kali seminggu kepada setiap hari persekolahan mulai tahun 2021,” katanya lagi.

Sebelum itu, Radzi telah mengarah satu siasatan lanjut dijalankan mengenai perkara itu bagi memastikan kebajikan pelajar terjaga.

Ia ekoran seorang pengguna Facebook bertindak memuatnaik gambar menunjukkan pelajar penerima RMT didakwa hanya berbekalkan nasi putih dan kuah sahaja di sekolah.

“Cucu saudara bawa balik dekat mak dia makanan RMT. Sedih betul. Makanan apa yang diberi untuk budak-budak dekat sekolah?” soal wanita itu.

Menurut hantaran wanita itu, sebelum ini pelajar sering mengadu makanan RMT tidak sedap namun diminta supaya bersyukur dengan bantuan yang diterima. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Siasat isu RMT, jangan ada persepsi negatif pengusaha kantin lain